Monday, August 30, 2010

Gelombang Keadilan

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh." (At Taubah: 111). "Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." (Ali Imran: 169). "Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah." (Al Baqarah: 207).

Saturday, August 21, 2010

JEMPUTAN WALIMAH

Jangan terkejut ya...empunya kad ini bukanlah saya, tetapi adinda bongsu. Bagi yang mengenali dinda bongsu saya, NURUL HUDA BINTI HJ NAYAN jemputlah ke teratak buruk kami pada tanggal 2 Syawal 1431 di alamat C-56 Perumahan Awam, Batu 2 1/2 Jalan Simpang, 34000 Taiping Perak. Semoga dengan kehadiran sahabat handai semua akan memeriahkan lagi majlis ini. Mohon doa dari semua agar segalanya berjalan lancar.

Friday, August 20, 2010

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PMRAM CAWANGAN ISKANDARIAH

Jabatan Setiausaha Agung PMRAM cawangan Iskandariah akan menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 18. Dijemput kepada semua ahli DPMI untuk menghadiri program tahunan ini untuk sama-sama kita melontar idea dan memberi muhasabah sebaiknya untuk kepimpinan PMRAM cawangan Iskandariah sesi 09/10. Maklumat Mesyuarat Agung adalah seperti berikut: TARIKH:11 Ramadhan 1431H Bersamaan 21 ogos 2010M HARI:Sabtu TEMPAT:Dewan Zajlatul Abidah MASA:7.30 a.m YURAN:LE 3 ANJURAN:Jabatan Setiausaha Agung DPMI Segala kerjasama anda amatlah kami hargai dan di dahului dengan ucapan terima kasih. Marilah datang beramai-ramai,tunaikan kewajipan.

Sunday, August 15, 2010

Tahniah Dan Takziah Kepada Kepimpinan Yang Baru

Bismillah Walhamdulillah... Mesyuarat Agung Tahunan PMRAM cawangan PERAK telah berlangsung pada 8 dan 9 Ogos yang lalu. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah dan takziah kepada kepimpinan AJKT dan AJK HEWI Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2010/2011. Mudah-mudahan barisan kepimpinan yang baru, dapat memikul amanah yang telah ALLAH pundakkan ini sebaik mungkin. Sudah pastilah di hadapan kalian nanti hanya dugaan dan cabaran yang setia menanti. Sesungguhnya jalan dakwah itu tidak dibentangkan dengan permaidani merah dan ditaburi dengan bunga-bunga nan mewangi. Teringat saya pada kitab karangan Mustafa Mahsyur yang bertajuk 'Jalan Dakwah'. Bagaimana pengarang menyenaraikan antara sifat-sifat jalan dakwah yang boleh dikategorikan kepada 3 bahagian. Pertama - Sifatnya yang susah dan memerlukan masa yang panjang. Cuba kita soroti kisah nabi Nuh a.s yang berdakwah kepada kaumnya selama 900 tahun untuk mentauhidkan ALLAH SWT. 900 tahun itu bukanlah masa yang singkat dan sedia kita maklumi bahawa hanya segelintir sahaja yang beriman kepada ALLAH SWT. Ambillah contoh ini sebagai suri tauladan kepada kita semua kerana sesungguhnya sifat jalan dakwah itu antaranya adalah susah dan panjang masanya. Kedua - Pengikutnya kena tekun dan sabar untuk pikul bebanan, dan saya kira sifat ini lebih menjurus kepada pengikut yang menjadi ahli. Cuba kita renungi kisah 3 orang sahabat nabi yang telah diiqab kerana tidak menyertai peperangan Tabuk yang ketika itu melawan bala tentera dari Rom. Bagaimana sabar dan tekunnya Kaab Bin Malik, Mararah Bin Ar-Rabie dan Hilal bin Umaiyah ketika dipulaukan oleh sahabat handai dan kaum kerabat mereka yang telah berlangsung selama 50 hari. Ketiga - Penyiksaan dari golongan thagut dan musuh-musuh ALLAH yang mahu menghapuskan mereka. Sesungguhnya penyiksaan ini adalah perkara biasa yang telah berulangkali berlaku dari zaman silam hingga ke hari ini. Boleh kita lihat contoh bagaimana kebalnya iman Bilal Bin Rabah yang disiksa di tengah-tengah padang pasir yang sangat terik waktu itu hanya kerana telah mentauhidkan ALLAH SWT. Justeru, marilah kita bersama menghulurkan bantuan kepada pimpinan selagi mana mereka mengajak kita ke arah pentauhidan kepada ALLAH SWT. Kepada seluruh pemimpin kami, bawalah kami semua ke jalan yang mendapat redha ALLAH SWT dan rasulNya.

SPR Cawangan Iskandariah

Suruhanjaya Pilihanraya PMRAM Cawangan Iskandariah telah membuka pencalonan AJKT PMRAM cawangan Iskandariah untuk sesi 2010/2011 SPR telah menetapkan tarikh Penamaan calon pada 12 ogos hingga 16 ogos 2010. Terdapat 2 kategori 1.Pencalonan Pengerusi Borang A:LE 5.00 2.Pencalonan bagi Ahlijawatankuasa Tadbir(AJKT) Borang B:LE 3.00 Sebarang kelewatan penyerahan borang atau kesilapan semasa mengisi borang akan menyebabkan pencalonan dengan sendirinya tertolak. www.dpmiskandariah-pmram.blogspot.com

Mahasiswa Mendepani Cabaran Ummah

Dewasa ini kita melihat pelbagai permasalahan dan kepincangan berlaku sehingga mencalarkan imej negara. Antaranya gejala sosial yang semakin membarah, masalah kebejatan akhlak, kes zina dan pembuangan bayi yang rata-ratanya dilakukan oleh golongan muda-mudi Islam dan pelbagai masalah lain yang membuktikan rosaknya mentaliti golongan yang bakal memimpin negara. Mahasiswa merupakan aset negara yang tidak ternilai. Terpundak dibahu mahasiswa satu tugasan penting yang bakal mencorakkan masa depan negara iaitu tugasan sebagai agen perubah (agent of change). Sejarah Islam mencatatkan pelbagai contoh dan kisah yang boleh kita kiaskan kepada dunia mahasiswa dan dunia pemuda. Kisah Nabi Ibrahim, Umar al-Khattab, Zaid bin Harithah, Abu Ubaidah al-Jarrah, Ashabul Kahfi dan ramai lagi yang boleh dijadikan iktibar. Allah telah berfirman : نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية آمنوا بربهم وزدناهم هدى (13) Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi: 13) Namun, perkara sebaliknya berlaku kepada warga mahasiswa Islam amnya dan mahasiswa Timur Tengah khususnya. Mereka semakin hilang fokus dan tersasar dari tujuan sebenar yang telah ditaklifkan kepada manusia iaitu sebagai pentadbir bumi dan penyebar risalah seterusnya bertugas bagi mendaulatkan Islam. Maka selayaknya sebagai golongan yang sering digambarkan sebagai terpelajar, intelektual, berwawasan dan sebagainya perlulah mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan demi memenuhi panggilan Islam. Beberapa perkara perlu dititik beratkan oleh golongan ini untuk merealisasikan harapan dancita-cita Islam antaranya : 1. Melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam setiap aspek kehidupan 2. Memantapkan aqidah, akhlak dan jiwa yang semakin taat kepada perintah Allah 3. Menjadikan diri sebagai ikon yang wajar dicontohi 4. Melakukan pengislahan atau pembaikan diri dan sikap 5. Memanfaatkan setiap saat dan berdisiplin dalam menjaga waktu 6. Menjuarai pelbagai isu dan menjawab segala kekeliruan yang berlaku Setiap mahasiswa perlu memainkan peranan masing-masing sebaiknya tanpa mengabaikan sudut lain yang dirasakan tidak penting. Mahasiswa perlu bersikap lebih berani dan terkehadapan. Golongan ini tidak selayaknya mencipta pelbagai alasan, mempunyai sikap berkecuali serta merasakan tidak mempunyai kepentingan dalam melaksanakan amanah ini. Fungsi sebagai mahasiswa perlu dimainkan sebaiknya. Mafhum dari sabda Rasulullah S.A.W :“Mereka yang bijak adalah mereka yang mendekatkan diri mereka dengan amalan untuk kehidupan selepas mati, manakala mereka yang bodoh itu adalah mereka yang bercita-cita terhadap Allah (Syurga dan nikmatnya) dalam keadaan mereka mengikuti hawa nafsu mereka (yang bertentangan dengan syari‘at)” Justeru itu, marilah sama-sama kita menjadikan kehidupan universiti ini sebagai satu medan praktikal sebelum terjun ke dunia realiti dan menjadikan kehidupan dunia ini sebagai ladang yang akan dipetik hasilnya di akhirat kelak. Kita tidak akan dipersoalkan tentang bilangan kejayaan yang diperolehi tetapi apakah usaha yang dilakukan bagi menjalankan misi dakwah dimuka bumi ini. Usaha ini perlu dilakukan bermula hari ini. Moga usaha ini akan dapat mendaulatkan Islam suatu hari nanti. Siiru’ala barakatillah ‘Izzati Farhana binti Mahadzir Penasihat HEWI Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

ISKANDARIAH DINOBATKAN SEBAGAI KONTINJEN TERBAIK

4 OGOS 2010-Majlis Perasmian Penutup akhawat telah diadakan di dewan rumah Pahang. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM pusat Ustazah Norhafiza Abd Wahab. Pada sebelah paginya diadakan pertandingan nasyid akhawat yang melibatkan semua kontinjen PMRAM setiap cawangan. Kontinjen Iskandariah juga tidak melepaskan peluang menghantar 15 orang kontinjen untuk acara nasyid. Sambutan yang amat mengalakkan daripada kontinjen setiap cawangan memperlihatkan kesatuan di antara ahli PMRAM yang begitu utuh. Majlis perasmian penutup diserikan dengan penyampaian hadiah bagi setiap pemenang. Berikut adalah keputusan pertandingan acara debat juara BKAN Selangor, acara pantun juara BKAN Perak, pertandingan nasyid tempat ketiga BKAN Johor, kedua Iskandariah, juara Mansurah, acara sukaneka tempat ketiga BKAN Terangganu, tempat kedua BKAN Kedah, juara Iskandariah. Acara dewan tempat ketiga BKAN Selangor, tempat kedua Iskandariah, juara Mansurah. Kontinjen kedua terbaik KEKAL 10' disandang oleh Kontinjen Mansurah dan keseluruhan terbaik KEKAL 10' disandang oleh Kontinjen Iskandariah. Tahniah diucapkan kepada semua kontinjen Iskandariah yang berkorban tenaga, masa dan kewangan untuk menyertai KEKAL 10'. Moga usaha murni ini mendapat ganjaran di sisi Allah dan moga Allah memelihara kesatuan ini. PMRAM milik kita semua.