Wednesday, October 26, 2011

Sambutan 60 tahun PAS Peringkat Negeri Perak

Monday, October 24, 2011

Isi Jiwa Dengan Tarbiyyah

Thursday, October 20, 2011

ALLAH maha melihat

Suatu hari, seorang guru meminta tiga muridnya untuk menyembelih tiga ekor ayam ditempat yang berbeza dan yang tidak terlihat oleh siapapun. Ketiga muridnya pun terus membawa ayam masing-masing dan berlari ketempat yng mereka fikirkan tiada orang yang melihat.

Murid pertama pergi ke puncak gunung. Disana, dia melihat tidak ada seorang pun yang melihat perbuatannya. Lalu dengan cepat, ia menyembelih ayam tersebut. Setelah selesai, dia segera kembali menghadap gurunya.

Murid kedua pergi ke gua. Setelah merasa tidak ada seorangpun melihatnya ia segera menyembelih ayamnya dan segera menghadap gurunya.

Sementara itu, murid ketiga nampak kebingungan. Ia berlari kesana kemari mencari tempat yang dimaksud gurunya. Lama dia mencari namun tidak juga menemukan tempat tersebut. Ia segera menghadap gurunya.

Setelah ketiganya sampai, guru mereka meminta laporan hasil tugas yang yang ia berikan. Murid pertama segera melaporkan bahawa dia telah berjaya menyembelih ayam tersebut dan yakin tidak ada yang melihatnya. Begitu juga murid kedua, dia melaporkan bahwa telah menyembelih ayamnya di gua dan tidak seorangpun melihatnya saat itu. Sementara murid ketiga, tidak dapat memberikan laporannya. Sang guru bertanya kepadanya, ” Muridku, sudahkah kamu melaksanakan tugasmu?”

Si murid menjawab,” Maaf guru, saya tidak dapat melaksanakan tugas yang diperintahkan.” Sang guru bertanya lagi, “Bolehkah kamu memberikan alasannya?”

“Saya tidak dapat menyembelih ayam ditempat yang tidak dilihat oleh siapapun kerana yang saya tahu ditempat manapun dibumi ini selalu diawasi dan dilihat oleh Allah.”

Mendengar jawaban muridnya sang guru tersenyum dan berkata, ” Kamu benar muridku, tidak ada tempat didunia ini yang tidak dalam pengawasan Allah, Allah Maha Melihat. Allah Maha Melihat apapun yang dilakukan oleh makhluknya didunia ini.”

Friday, June 10, 2011

Belut Oh Belut...

Setelah hampir 2 minggu mencari makhluk ALLAH ini di serata Kelantan, Alhamdulillah akhirnya jumpa juga. Ikutkan hati hampir futur untuk mencari bila setiap pasar di Kota Bharu tiada yang menjual ikan spesis ini. Tetapi bila dikenang hajat dindaku yang satu ini, ralat rasanya kalau tidak dicari. Terima kasih kepada sahabat-sahabat Bahasa Arab 3 IPG yang riuh-rendah dalam kelas melukis peta tempat menjual belut di sekitar Kota Bharu. Juga kepada sahabat-sahabat seasrama; Manal, Hidayah, Siah, Huda dan Ayu yang turut sama kalut mencari belut. Bermula dengan pasar Cabang 3, kaki lima Pasar Siti Khadijah, MYDIN Kubang Kerian hatta gerai-gerai makan juga sempat saya mencari. Malam terakhir di Kelantan pencarian masih lagi di teruskan, namun tetap hampa. Akhirnya saya pasrah, andai ada rezeki untuk Adinda saya, adalah. Jika tidak, mungkin ada rezeki lain yang menanti.
Sebelum tidur, saya disapa sahabat FB. Katanya, dalam perjalanan pulang ke Taiping nanti cubalah singgah dulu di Pasar Besar Tanah Merah. Mungkin ada yang menjual belut di situ. Saya tidak menaruh apa-apa harapan. Takut kecewa lagi. Tapi benarlah kata pepatah, kalau sudah jodoh tidak kemana. Alhamdulillah, video di atas membuktikan belut yang dicari, dijumpai juga. Saya sujud syukur. Bolehlah lepaskan hajat dinda Huda Nayan dan bakal baby baru Mak Yang yang teringin makan ikan panjang ini.

Wednesday, June 8, 2011

Fatrah Menekuni Kajian Ilmiah

Alhamdulillah, kelas Bahasa Arab 3 dapat dipadatkan semalam dan hari ini. Interaksi kedua telah selesai. Maka kami, dapat merehatkan otak dan badan untuk seketika sebelum sekolah kembali dibuka Isnin hadapan.
Sepanjang interaksi kedua ini, banyak yang dapat dipelajari. Huraian Sukatan Pelajaran (HSP), Rancangan Pengajaran Harian (RPH), Rancangan Pengajaran Mingguan (RPM), Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT), Teori Pembelajaran Behavioris, Teori Pembelajaran Kognitif, Teori Pembelajaran Sosial, Teori Pembelajaran Humanis,Teori Pembelajaran Konstruktivisme, Wacana Penulisan, Asas-asas olahraga, Penyuburan Diri Insan Guru, Kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran & Agama Islam dan pelbagai lagi menjadi hidangan rohani dan jasmani kami di IPG Kampus Kota Bharu kali ini.
Moga ilmu yang diperolehi ini mampu menjadikan kami Muallim dan Muallimah yang berdedikasi guna untuk melahirkan hati dan jiwa yang takutkan ALLAH. InsyaALLAH jika ALLAH panjangkan umur, akan saya rumuskan sedikit sebanyak tentang Teori-teori Pendidikan yang agak rumit itu.
Kerja kursus juga cukup bilangan sepuluh jari. Azam saya untuk menyiapkannya seawal mungkin kerana apabila sekolah kembali dibuka, kesibukan akan terus melanda. Pembahagian masa sangat penting. Fatrah ini perlu dibahagi sama adil. Kajian-kajian ilmiah wajib saya ladeni sekurang-kurangnya 5 jilid untuk 1 medium. Buku, kitab, makalah, majalah, jurnal dan pelbagai lagi kajian-kajian ilmiah. Doakan azam saya tercapai.
Sungguh rasa tidak sabar untuk berjumpa dengan 'anak-anak' saya. Apa khabar agaknya mereka. Mudah-mudahan kita semua akan berjumpa Isnin depan ya!. InsyaALLAH.

Saturday, June 4, 2011

Musafir Mencari Ilmu

Masuk minggu kedua di Kelantan. Sepanjang musim cuti ini, saya berada di bumi serambi Mekkah ini untuk berkursus. 2 minggu cuti sekolah bermakna 2 minggu juga saya bermusafir. Ini akan menjadi pengalaman yang bernilai buat saya. Kerana saya yang memilih untuk berkecimpung di dalam profesyen ini, maka saya harus tabah menghadapinya. Untuk tempoh setahun setengah ini, waktu cuti sekolah saya akan dihabiskan di maktab. Atau sekarang lebih dikenali dengan nama IPG. Institut Pendidikan Guru. Kursus saya akan tamat pada Jun 2012.
Setelah selesai minggu pendaftaran pada akhir Januari 2011 dan interaksi pertama pada Mac 2011 yang lalu, kini saya kembali sekali lagi ke Kelantan untuk interaksi yang kedua. Minggu pertama telah dilalui dengan tenang, alhamdulillah. Esok, minggu kedua akan menjelma. Tiada siapa yang tahu apa yang bakal dilalui. Saya jadi pongah. Coursework juga jika dibilang-bilang setakat ini sudah menjangkau 7!. Ya ALLAH...mampukah saya untuk menyiapkannya dalam tempoh yang diberikan oleh pensyarah. Hanya ALLAH tempat saya bergantung harap.
InsyaALLAH jika tiada aral yang melintang, Khamis depan saya akan bertolak pulang ke Taiping. Pulang dengan coursework yang menimbun. Pulang untuk kembali bersua keluarga di kampung. Pulang untuk menghadapi hari-hari kerja seperti biasa.
Kuatkan semangat ku ya ALLAH. Mudah-mudahan dapatku menjadi hambaMu yang solehah.

Tuesday, April 26, 2011

Kenangan Meronda Ma'ridh Kutub Di PWTC Kuala Lumpur

Abah tekun membaca buku yang baru di beli dari salah sebuah booth Agama.
Kepenatan meronda seluruh pelusuk PWTC jelas kelihatan.
Kak Long dan Kak Nyah sedang berkira-kira mahu membeli buku apa...
Anak-anak buah sedang diuji IQ mereka di booth GROLIER yang akhirnya mereka mendapat habuan belon pelbagai bentuk dan rupa.

Friday, April 15, 2011

Solat Hajat & Ceramah Perdana

Tentatif Program :
1) Solat dan tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh : Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.
2) Solat Isya' dan solat Hajat untuk kemenangan PAS di PRN Sarawak dan keselamatan rakyat Malaysia.
3) Ceramah Perdana oleh :
- YB Sivakumar - YB Drs. Idham Lim Abdullah - Us Zawawi Hassan (KP PAS PERAK) - Us Nordin Jaafar (YDP PAS BKT GANTANG) - Us Ahmad Arifin Zakariya (KP PAS BKT GANtANG) Muslimin dan muslimat serta penyokong-penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir. UBAH SEKARANG!!! SELAMATKAN MALAYSIA!!! ALLAHUAKBAR!!!
Anjuran : DEWAN PEMUDA PAS BUKIT GANTANG bersama PAS BUKIT GANTANG

Thursday, April 14, 2011

Kisah 'SAYANG' Saya

Ada satu cerita yang ingin dikongsi bersama semua. Mungkin ini cerita biasa. Tapi bagi saya, cerita ini membawa impak yang cukup hebat. Cerita bagaimana saya melihat semuanya di depan mata, cerita bagaimana meluapnya amarah saya, cerita bagaimana saya mempertahankan hak diri juga cerita bagaimana saya berjaya mendapat hak yang dipertikaikan. Inilah cerita saya dan 'sayang' saya.
Sebulan sebelumnya...
9/3/2011 a.k.a 9 Mac 2011-ada satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan, bila 'sayang' saya berada di depan mata. Terharu, pilu, tidak bersedia, seronok bergaul jadi satu. Lantas saya berjanji akan menjaganya sebaik mungkin. Kerana semestinya selepas ini kemana pun saya pergi, saya pasti akan bersama 'sayang' saya.
Hari ini...
14/4/2011 a.k.a 14 April 2011 'sayang' saya dirosakkan orang. Orang yang tidak bertanggungjawab, sombong atau mungkin juga angkuh. Tiba-tiba bangkit kebencian saya kepada mereka mahupun kaum mereka.
Ceritanya begini...
Petang tadi saya letakkan 'sayang' saya di sebelah tempat keluarkan duit di Bandar Taiping. Ingin kemas kini akaun. Setelah urusan selesai dan saya dengan tergesa-gesa meluru kembali kepangkuan 'sayang' saya,tetapi dengan jelas saya melihat dia dirosakkan di depan mata saya oleh si anak kecil yang berada di dalam pangkuan ibunya. Lalu amarah saya bangkit, namun masih boleh dikawal. Saya tanyakan molek-molek kepada ibunya mengapa 'sayang' saya dibuat sebegitu rupa. Sudahlah perkataan maaf langsung tidak keluar dari mulutnya, malah parut dan luka yang jelas kelihatan pada 'sayang' saya pula dikatakan tidak ada apa-apa. Kata ibu muda itu "Perkara kecik sahaja loooo, saya mau kasi lu RM 20 cukupkah", katanya.
Kata saya "Nyonya, awak lihatkan kereta saya ini apa nombor platnya?. Ini kereta baru. Saya baru sebulan pakai kereta ini. Sepanjang sebulan ini tidak ada 1 garis halus pun saya benarkan hinggap di badannya. Nyonya kata ini perkara kecil sedangkan ianya sudah kemek dan bergaris-garis halus disebabkan anak Nyonya itu puncanya?".
Lalu dalam masa yang sama suaminya pula keluar dan berkata dengan kasar "Tak ada apa-apa looo, masih macam biasa saja. Ini pun mau besar-besar ka. Saya kasi lu RM 20 cukuplah". Saya masih menunggu "maaf" keluar dari mulut Apek dan Nyonya itu, namun masih belum ada tanda-tandanya. Sekurang-kurangnya perkataan MAAF itu boleh meredakan hati saya yang sedang walang ini. Saya berkira-kira mahu selesaikan di situ sahaja, namun bila melihat sikap suami isteri yang tidak beradab ini, saya hilang punca...
Saya masih terkial-kial mencari jalan penyelesaian. Hanya doa dan surah-surah pendek sempat saya kumat-kamitkan mudahan tiada apa yang berlaku. ALLAH Maha Mendengar rintihan hambaNya. Mujur juga kakak saya ikut bersama. Dia yang mencadangkan supaya abang saya yang tinggal di Kamunting itu segera diberitahu.
Sambil-sambil menunggu, si Nyonya tadi bersuara, "Manyak lambat loooo...saya manyak lagi kelija mau buat. Apa macam mau tunggu sini saja".
Sabar saya sudah hilang, lantas saya membalas "Hei Nyonya, saya yang bikin kereta lu kemek ka atau lu yang bikin kereta saya kemek. Lu mau tau ka, ini kereta pertama saya, saya bayar dengan gaji pertama saya, awak orang pertama yang buat kereta saya kemek, awak kata ini benda kecik. Lagi mau bayar RM 20 saja. Apa, lu ingat cukup? Lu ingat duit RM 20 lu tu besar sangat ka?. Tunggu sajalah. Barangkali terkejut, Apek dan Nyonya itu menurut saja kata saya. Mereka diam.
Hampir 1/2 jam menunggu, abang saya tiba di tempat kejadian. Saya hairan... dengan tidak semena-mena Apek dan Nyonya tadi bersuara "Saya bagi awak RM50 saja loooo...kita selesai di sini saja boleh ka?. Saya berkira-kira. Mungkin kerana melihat sasanya abang saya itu menyebabkan ada penambahan tawaran harga. Fikir saya, seronok juga ada abang yang badannya sasa macam Big Show!.
Kata abang saya "ikut saya ke kedai ketuk". Mereka menurut sahaja. ALLAH Maha Kuasa.
Sampai di kedai, RM 20 dan RM 50 yang mereka tawarkan di awal cerita tadi tidak laku. Kerana jumlah yang perlu dibayar untuk membetulkan semula kemek yang sedikit itu adalah sebanyak RM 100!. Apek itu membayar beriring bebelan. Saya masih menunggu MAAF keluar dari mulut mereka berdua. Namun hampa. Mereka berlalu pergi tanpa sedikitpun memandang saya. Marah barangkali!.
Sebelum pulang, sempat saya berikan sedikit pandangan kepada tokey kedai ketuk itu. Kata saya, "tokey,bukankah kita ini orang Malaysia...ada sopan santunnya...ada budi bahasanya...kalau kita betul salah, cakap kita salah. Itupun susah ka tokey?. Saya cuma tunggu MAAF dari mereka berdua tapi kecewa. Bukankah kita ini 1 MALAYSIA tokey?". Saya berlalu pergi.
Tidak boleh bayangkan saya berhadapan dengan situasi sebegini. Nasihat kepada semua, walau apa pun yang terjadi banyaklah memohon pertolongan dari ALLAH taala. Hatta sekecil-kecil perkara.
p/s :Tak sangka boleh guna perkataan 1 MALAYSIA tadi kerana saya bukan pendokong perkataan itu. Kerana dulu, kini & selamanya saya menyokong dan mendokong MEMBANGUN BERSAMA ISLAM!. Juga doakan 'sayang' saya kembali sihat ya!.

Tuesday, April 12, 2011

Kerja Saya Sekarang

Tugas saya sekarang mengajar Bahasa Arab TAHUN SATU di sekolah rendah. Jadi, saya perlu mendalami jiwa anak-anak kecil. Walaupun hakikatnya saya alah dengan kerenah mereka yang pelbagai.
Terasa masa begitu pantas berlari, saya juga dulu seperti mereka malah mungkin lebih teruk dari itu. Saya pelajar yang 'biasa-biasa' sahaja. Pergi sekolah kerana dipaksa, di dalam kelas hanya bermain, buku latihan beli seminggu sekali kerana selalu dikoyak untuk buat 'jet terbang' konon-kononnya, wang saku pemberian bonda tidak pernah berbaki malah di 'simpan' di kantin sekolah, bergaduh dengan murid-murid India kerana hanya kelas saya yang bercampur dengan mereka, setiap hari akan didenda kerana homework tidak pernah disiapkan dan banyak lagi rasanya perangai saya yang tak boleh dijadikan contoh. Gamaknya bagaimana lah guru-guru mendidik saya ketika itu.
Dan sekarang, saya telah mengambil alih tugas guru-guru saya dulu. Pula perlu sabar untuk mentarbiah anak-anak didik saya pula. Bagaimana untuk menangi hati mereka?. Hanya ALLAH tempat saya mengadu. Moga hati-hati mereka lembut dan berminat untuk belajar bahasa syurga ini.
Doakan saya semoga sabar dan amanah dalam memikul tanggungjawab sebagai pendidik.

Sunday, January 2, 2011

Saya dan HOSPITAL

10/1/2011 ini genap sebulan hospital menjadi rumah kedua saya. Bermula 10/12 baru-baru ini di Hospital Taiping, kemudian ke Institut Jantung Negara dan selasa ini insyaALLAH ke Hospital Ampang menemani abahanda tercinta untuk bertemu pakar darah. Alhamdulillah saya tidak keseorangan, semua adik-beradik bergilir-gilir menemani abahanda yang kami cintai di hospital.
Teringat waktu kecil dulu, selalu berangan sakit dan boleh tinggal di hospital sehari dua. Sebab utama, saya akan dilayan bagai anak raja dan kedua, saya suka pada buah tangan yang insyaALLAH bakal dibawa oleh sanak saudara. Plus kalau yang dibawa ialah milo dan anggur. Semuanya berangan kerana hakikatnya saya tidak pernah sakit teruk dan ditahan di hospital. Alhamdulillah!.
Dan hari ini ALLAH kabulkan angan-angan saya itu...walaupun hanya menemani abahanda yang ditahan di hospital, nyata sekali angan-angan saya itu telah menjadi kenyataan.
Mudahan-mudahan abah saya cepat sembuh...ameen ya rabb!