Jejak Fakir Di Petra Jaya
8 years ago
http://www.telaniputri.blogspot.com
Hari ini 5 Rabiul Awwal 1431 hijrah. Bulan yang sarat dengan sirah Baginda Nabi Muhammad SAW. Bulan di mana Baginda diputerakan. Ayuh mari bersama kita perbanyakkan selawat ke atas Baginda. Kitalah ummat yang disebut nabi diakhir-akhir pemergiannya. Maka sayugialah cinta dan rindu kita untuk Baginda.
Pagi tadi, entah kuliah Jumaat yang ke berapa saya hadiri. Kebiasaaannya pada setiap pagi Jumaat kami berkumpul di Markaz untuk mendengar tazkirah dan kebetulan rakan serumah saya yang ditaklifkan untuk menyampaikan tazkirah tersebut. Kedatangan saya pagi tadi agak lewat dari biasa dan sewajarnya tempat duduk yang sesuai ialah di belakang semua orang. Rupa-rupanya ada hikmahnya saya berada di belakang semua orang ini. Sesuatu yang telah lama saya sedari namun hanya hari ini mampu saya ungkapkan secara realiti.
Sungguh saya terkesan hari ini bila melihat banyak ruang yang sepatutnya dipenuhi oleh kita, tiada berpenghuni. Masakan majlis ilmu yang dinaungi dengan sayap-sayap para malaikat sebegini dibiarkan sepi? Kemana hilangnya peribadi yang berjanji setia untuk mengabdikan diri sebagai pewaris Nabi? Seringkali hanya wajah-wajah yang sama sahaja ke Kuliah Jumaat setiap minggu. Di mana sahabat-sahabat kita yang lain? Pernahkah kita ambil peduli dengan fenomena ini?
Usai Kuliah Jumaat, Muzakarah Berkelompok sedia menanti semua. Sungguh hati ini tidak sabar untuk bertemu dengan sahabat seMuzakarah. Di lapangan Muzakarah Berkelompoklah kita belajar untuk mengenal erti Islam yang hakiki, melebarkan sayap ukhuwwah, berusaha untuk bercakap dan mengutarakan pendapat serta seharusnya mengenal erti susah dan senang bersama. Sesekali pasti kami berbalah, namun di situlah manisnya bila semuanya berlapang dada. Sungguh saya kenal semuanya di dalam muzakarah berkelompok. Sangat banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari muzakarah berkelompok ini. Namun mengapa hanya segelintir sahaja dari kita yang menyedarinya? Mengapa hanya sebahagian sahaja yang memainkan peranan dalam menjayakan kelangsungan dakwah Rasulullah? Bukankah ini juga satu sunnah yang nabi tinggalkan buat kita semua? Namun mengapa di kalangan kita masih tega membiarkan segalanya berlalu? Adakah permusafiran kita ke bumi kinanah ini sekadar menuntut ilmu di kuliah sahaja? Ingat sahabat, Muzakarah Berkelompok juga satu sunnah yang nabi tinggalkan buat kita semua.
Alhamdulillah, DPMI baru saja selesai mengadakan program UCAP DASAR PRESIDEN PMRAM 2009 dan Muhasabah Separuh Penggal AJKT DPMI 09/10. Sangat banyak saya kira pendapat yang dilontarkan oleh sahabat sekelian dalam memastikan kelangsungan Muzakarah Berkelompok ini. Lega kerana masih ramai yang sayangkan DPMI dan PMRAM rupanya. Sewajarnya segala muhasabah dan cadangan yang dilontarkan oleh ahli, bersama kita fikirkan. Mudah-mudahan kita semua beroleh manfaat.
Akhirnya, mari kita perbanyakkan selawat. Dan jangan lupa Jumaat minggu depan bersempena dengan kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW, kita beramai ke Dewan Zajlatul Abidah kerana ada 'sesuatu' yang menarik menanti anda semua.
Ana rasa terpanggil untuk mencoretkan apa yang berlaku pada senario hari ini. Adakah boleh bercinta? Apa yang ada dalam benak kita ketika mendengar kalimah ini? Menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang mengaku mencintai, kemudian membina hubungan dengannya (agar mengenal sifat mahupun akhlaknya berdasarkan niat untuk menjadi pasangan hidup dan lebih mengenali keluarganya) tanpa berdua-duaan, atau menjalin hubungan istimewa dengan seorang lelaki yang mengaku mencintai dan membiarkan diri berdua-duaan dengannya sehingga mengundang jalan masuknya syaitan dan akhirnya terjebak dalam perbuatan yang menjurus ke arah zina bahkan melakukan zina? Na’uzubillah..
Lelaki mahupun perempuan pasti tidak terlepas dari keinginan untuk ingin saling sayang menyayangi. Hidup tidak sempurna sekiranya tidak ada kekasih. Itulah kata sesetengah dari kalangan mereka yang bercinta. Rasa cinta adalah anugerah Allah kepada setiap manusia. Jiwa memerlukan cinta sebagaimana jasad perlukan makanan. Cinta ibarat api yang menjadi sumber tenaga kepada kehidupan. Ia menyinari alam. Dengan kekuatan cinta manusia sanggup dan mampu menempuh pelbagai rintangan. Gunung sanggup didaki, lurah sanggup dituruni, lautan sanggup direnangi semata-mata untuk memiliki cinta. Hebatkan yang dinamakan cinta. Allah menghadiahkan perasaan cinta dalam keadaan yang cukup murni. Namun jika kemurniaannya tercemar, jadilah ia api yang membakar hangus. Bukan lagi sumber kehidupan tetapi pemusnah yang menghancurkan, tidak lagi menyinari alam tetapi menjadi alam hitam kelam seperti arang.
Kehidupan di dunia hanyalah sebahagian dari siri perjalanan yang panjang seorang manusia. Bermula dari alam roh, kita berpindah ke alam rahim sebagai janin yang berkembang sehingga dilahirkan ke dunia sebagai bayi. Kini kita berada di alam dunia menghabiskan usia sehingga proses kematian membawa kita berpindah ke alam barzakh.
Di barzakh kita menunggu sehingga kiamat untuk semua manusia dikumpulkan di alam mahsyar. Di mahsyar proses pengiraan amal berlaku membawa kepada perhentian terakhir kita, Syurga atau neraka. Alam yang paling kritikal adalah alam dunia di mana kita diberi kebebasan untuk memilih jalan hidup.
Disinilah penentuan sama ada cinta yang dikurniakan Allah ini membahagiakan sehingga merentasi barzakh, mahsyar dan ke Syurga abadi di mana kemuncak kebahagian cinta akan dinikmati atau menuju neraka yang seksanya tiada batasan!
Dia yang mencipta cinta telah mencipta juga ‘peraturan cinta’ demi untuk menjaga kemurniaan cinta itu sendiri. Cinta yang mematuhi peraturan ini sahaja yang akan mampu merentas alam sehingga ke Syurga. Malangnya peraturan ini kerap dilanggar oleh manusia yang sedang bercinta. Malahan yang haram menjadi halal dan yang halal menjadi haram.
Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, tidak bergayut ditelefon mahupun sistem pesanan ringkas (SMS) cinta yang membuai rasa, tiada sentuhan tangan dan tiada kerlingan dan senyuman? Ada suara dari dalam diri kita mungkin merungut begini. Yakinlah tidak ada keindahan dan kebahagian dalam melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta, frust menonggeng fenomena cinta yang begitu popular di kalangan manusia adalah disebabkan cinta yang tercemar kemurniaannya.
Banyak cinta bukan sahaja hancur sebelum mencecah alam perkahwinan malah membawa dendam yang membara. Inilah cinta terlarang. Cinta yang tidak mampu merentas alam malah mati sebelum kematian manusia itu sendiri.
Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan boleh berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlaku ‘cinta terlarang’. Cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak fitrah tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Cinta yang penciptaan asalnya bertujuan membahagiakan dan membantu meringankan bebanan hidup menjadi beban paling berat dan penjara paling menyeksakan.
Allah kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Lebih-lebih lagi bila hukumnya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah malah loyar buruk mengatakan Allahkan Maha Pengampun? Tubuh kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah yang ketiga. Bila bermula satu sentuhan, hampir mustahil mundur kebelakang apabila nafsu dan syaitan sudah menguasai. Semuanya seolah-olah halal atas alasan cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan fitrah cinta dianggap baja.
Akhirnya berbuahlah pohon cinta terlarang. Pahit, masam, beracun dan memabukkan. Buah yang menjijikkan. Ketika itu hilanglah kemanisan cinta. Jika cinta begini yang diburu, tidak pelik jika cinta muncul dalam hidup rupa monster yang menakutkan... kerana ia memberi pengalaman yang menyakitkan. Lalu cuba salahkan orang lain yang ‘menabur janji kosong’ ‘manis kata di bibir’ tapi hati lain berbicara. Malah ada yang hingga tahap menyalahkan takdir kerana memisahkan ‘cinta suci’ antara dua insan. Cinta terlarang begini bukan destinasinya neraka di akhirat malah neraka sepanjang perjalanan di dunia. Kemanisannya hanya dapat dirasai dititik permulaan!
Rasa cinta yang murni sangat inginkan kebahagian untuk dicintai. Dia tidak akan membiarkan orang yang dicintai terluka sedikit pun. Dia akan melakukan apa sahaja demi untuk kebahagiaan yang dicintai tanpa mengharapkan balasan. Hukum cinta ialah, beri dahulu pasti kita akan memetik hasilnya. Cinta yang paling murni dari Allah untuk hamba-Nya. Dia yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim memberi dan terus memberi kepada hamba-Nya.
Hubungan cinta yang menuntut ‘penyerahan diri’ sebelum ikatan sah melalui akad nikah pastinya bukan cinta murni kerana ia bukan sahaja meminggirkan Allah yang mencipta cinta malah mengetepikan soal mempertahankan maruah dan harga diri pasangan yang kononnya dicintai sepenuh hati.
Jika benar seorang lelaki mencintai seorang wanita dengan cinta murni, mana mungkin dia sanggup merobek kehormatan wanita. Seorang lelaki yang mencintai seorang wanita pastinya mahu melindungi dari sebarang kerosakkan. Dia tidak akan sanggup membakar kekasihnya walau dengan puntung rokok sekalipun, tetapi kenapa sanggup menempah api neraka dengar membiarkan sentuhan terlarang berlaku?
Allah SWT berfirman: “Janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu yang buruk.” (QS. Al-Isra’[17]: 32).
Apakah pengertian dari zina? Nabi Muhammad SAW yang menyayangi kita bersabda: “Allah Ta’ala mencatat anak Adam bagiannya dari perbuatan zina. Dia pasti mengalami perzinaan itu. Zina mata adalah dengan memandang, zina lidah adalah dengan berkata, dan zina hati adalah berangan-angan. Dan farji (kemaluan) membenarkan perbuatan itu dan mendustakannya.” (HR. Ahmad).
Mendekati zina saja dilarang, apatah lagi melakukannya. Jika engkau ingin dicintai Allah, maka hendaklah sentiasa menjaga diri terutama hati dari sesuatu yang tidak dihalal-Nya. Kerana sesungguhnya hati it barada dalam tangan Allah, mohonlah pada-Nya agar hati ini selalu dijaga agar teguh pada agama-Nya seperti doa yang selalu Rasulullah panjatkan:
Ya muqallibal qulub tsabbit qulubana ‘ala dinik. “Wahai Zat yang membolak-balik qalbu, teguhkanlah hati kami pada agama-Mu.” (HR. Ahmad dari Aisyah r.a)
Untuk memastikan cinta yang terjalin mampu merentas alam, hendaklah cinta itu didasarkan kepada cinta Allah.... cinta yang diberikan semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan boleh menghampiri diri kepada-Nya.
Cintailah sesiapa pun tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan wanita mestilah diniatkan untuk memiliki cinta Allah. Tapi bagaimana ya? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seseorang lelaki atau wanita menyempurnakan agamanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya.”
Jangan sekali-kali bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti bukan kerana Allah. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan.
Mematuhi syari’at adalah benteng terkuat daripada terjebak ke dalam jurang cinta terlarang. Kekuatan dan kemampuan untuk mematuhi syari’at pula hanya dapat dimiliki hati meletakkan Tuhan sebagai cinta teragung. Hati yang mencintai hanya kerana Allah. Perasaan cinta adalah amanah dari Allah, maka pastikan ianya hanya diberikan kepada yang akan sama-sama menjaga amanah ini. Maka pohonlah kekuatan dari Allah. Tuhan yang menciptakan cinta agar cinta yang dijalinkan tidak membawa ke arah menjauhi-Nya dan sekaligus tidak membawa ke neraka...
Semoga kita selalu menjadi muslim yang dicintai Allah, kerana sesungguhnya Allah sangat mencintai hamba-hamba yang mencintai-Nya.
Program kedua bakal menyusul insyaAllah, untuk seluruh warga D.P.M.I. Muhasabah dan cadangan dari kalian akan dibuka pada hari tersebut. Jemput beramai-ramai bagi memeriahkan lagi program ini.
Anda Penentu Halal Haramnya..
Laman jaringan sosial Facebook atau singkatannya FB, kini terus menjadi fenomena bagi pengguna internet di Malaysia.
Penggunanya dikatakan bukan sahaja sahaja merangkumi peringkat usia kanak-kanak, remaja dan dewasa malah sehingga golongan berumur lebih dari 50 tahun.
Menurut laporan statistik terkini yang dikeluarkan syarikat Facebook, mereka kini mempunyai 350 juta pengguna aktif diseluruh dunia.
Dari jumlah itu, seramai 1.1 peratus atau 3.85 juta penggunanya adalah rakyat negara Malaysia dan sebilangan darinya adalah pengguna Islam.
Manakala lebih daripada 65 juta juta pengguna aktif Facebook juga mengakses melalui peranti mobile mereka.
Facebook produk Yahudi?
Hukum penggunaan Facebook ini pernah menjadi pertikaian di kalangan pengguna Islam apabila terdapat maklumat yang mendedahkan pengasasnya, Mark Zuckerberg adalah seorang Yahudi sekaligus meletakkan bahawa ianya adalah produk bangsa itu.
Malah lebih berat lagi apabila maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya menyebut Mark Zuckerberg menggunakan perniagaan Facebooknya membiayai Israel menyerang umat Islam di Gaza, Palestin tersebar luas di kalangan pengguna Islam.
Polemik itu juga telah menyebabkan ada kumpulan tertentu melancarkan kempen boikot dengan menyeru orang Islam tidak lagi menggunakan jaringan Facebook kerana didakwa boleh membawa kepada haram akibat menguntungkan Yahudi.
Namun menjadi persoalan adakah betul jika pengharaman dibuat atas asas bahawa ianya hanya produk Yahudi?
Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu:
أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Ianya menjelaskan bagaimana Islam membenarkan umatnya membeli, menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal.
Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.
Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.
Bila Facebook menjadi Haram
Hukum mengguna dan membuka akaun Facebook pada asasnya adalah 'Harus' atau dibenarkan selagi tidak melanggar batas syariat Islam.
Malah jika ia digunakan untuk kemaslahatan (kebaikan) Islam, maka ia menjadi sangat digalakkan.
Namun ianya boleh menjadi haram jika kemudahan jaringan sosial ini disalahguna bergantung kepada matlamat seseorang.
Facebook sepatutnya dijadikan sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, medan perbincangan, ruang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.
Malangnya ada diantara kita membuka akaun Facebook hanya untuk suka-suka, betul-betul untuk 'bersosial' tanpa ada sebarang tujuan bermanafaat.
Apatah lagi, Facebook kini juga dilengkapi aplikasi 'third party' seperti kuiz dan permainan online.
Keasyikannya kadang-kadang mampu menjadikan pengguna itu ketagih dan hanyut dalam dunia sendiri sehingga melupakan dunia luar.
Maka tidak hairanlah jika kajian Facebook sendiri menyebut rata-rata penggunanya menghabiskan lebih dari 55 minit sehari mengadap laman ini.
Islam melihat mereka yang menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, boleh menjadi haram sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.
Malah lebih teruk lagi jika penggunaannya membuahkan fitnah menyebabkan institusi keluarga, masyarakat dan negara menjadi porak peranda.
Dalam satu kes yang berlaku 24 Januari 2009, seorang pemuda, Edward Richardson yang berasal dari London, dihukum penjara 18 tahun kerana membunuh isterinya Sarah, setelah mengetahui isterinya itu menukar status 'maried' kepada 'single' pada profile Facebooknya.
Beberapa kes lain juga berlaku termasuk dalam negara ini sehingga terdapat kes seseorang individu itu disiasat oleh pihak berkuasa kerana komen-komennya dalam blog yang berbaur hasutan dan ancaman yang didakwa boleh mewujudkan ketegangan.
Maka persoalan haram dan halal berhubung perkara ini wajar dipulangkan kepada pengguna masing-masing.
Hanya anda tahu bagaimana anda menggunakan kemudahan jaringan sosial ini sama ada memberikan banyak manfaat atau mudarat.
Tepuk dada tanya Iman..
*dipetik daripada www.harakahdaily.net
Sesungguhnya bangsa Yahudi yang dilaknat Allah SWT sampai hari kiamat, tidak senang duduk tanpa melakukan sesuatu yang boleh memalingkan aqidah umat Islam daripada berpegang teguh kepada ajaran agama mereka, atau dengan kata lain, bangsa Yahudi ini mahu melihat ada di kalangan umat Islam murtad daripada agama mereka.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran, ayat 120 surah Al-Baqarah yang bermaksud : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau mengikuti ajaran agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
F -pertama ialah FILEM
Umum mengetahui bahawa Hollywood adalah milik Yahudi malah menjadi teras kepada kekuatan ekonomi Amerika, mencipta cara untuk menjadikan bangsa lain agar menjadi jahat seperti mereka ialah dengan menerbit, mencipta serta mengeluarkan filem-filem yang berunsur lucah yang digilai oleh kumpulan remaja.
Mengapa tidak, filem-filem Melayu juga menayangkan jalan cerita yang menggambarkan bahawa orang Islam boleh bercampur gaul secara bebas antara dua jantina yang berlainan, filem seperti Akhirat, Gubra, Mukhsin, Sepet, Anak Halal, dan bermacam lagi menyaksikan percampuran bebas antara pelakon lelaki dan wanita, terdapat juga filem yang menggambarkan orang Islam melawan takdir Allah, sihir dan yang boleh menggugat akidah.
F -kedua ialah FAMILY
Yahudi turut memastikan agar anggota keluarga di kalangan orang Islam boleh hidup bebas, isteri boleh berpasangan dengan suami orang lain, suami pula boleh bersama isteri orang lain, pasangan suami isteri boleh menari-nari di khalayak ramai tanpa perasaan segan silu seperti dalam rancangan Sehati Berdansa.
Anak-anak gadis atau isteri-isteri membuka aurat di hadapan bukan mahram,di mana para bapa atau suami tidak merasa cemburu dengan gelagat orang-orang yang di bawah jagaan mereka, kehidupan keluarga menjadi kalut denagn sebab Islam tidak menjadi pegangan hidup yang sempurna.
F -ketiga ialah FASHION
Perkara ini juga menjadi trend yang digilai oleh golongan wanita dari segenap peringkat umur, trend fesyen pakaian remaja perempuan yang membuka aurat tidak lagi menjadi pelik pada hari ini, tindakan itu sebenarnya kejayaan bagi Yahudi yang telah mencipta fesyen pakaian menjolok mata.
F -keempat ialah FUN
F -kelima ialah FOOD
Tindakan zalim Yahudi menyerang rakyat Palestin, telah membuka mata umat Islam seluruh dunia bahawa mereka perlu memboikot barangan mereka khususnya yang melibatkan bahan-bahan makanan seperti KFC, Mc Donald dan lain-lain.