Monday, February 8, 2010

Jauhi Cinta Terlarang

Ana rasa terpanggil untuk mencoretkan apa yang berlaku pada senario hari ini. Adakah boleh bercinta? Apa yang ada dalam benak kita ketika mendengar kalimah ini? Menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang mengaku mencintai, kemudian membina hubungan dengannya (agar mengenal sifat mahupun akhlaknya berdasarkan niat untuk menjadi pasangan hidup dan lebih mengenali keluarganya) tanpa berdua-duaan, atau menjalin hubungan istimewa dengan seorang lelaki yang mengaku mencintai dan membiarkan diri berdua-duaan dengannya sehingga mengundang jalan masuknya syaitan dan akhirnya terjebak dalam perbuatan yang menjurus ke arah zina bahkan melakukan zina? Na’uzubillah.. Lelaki mahupun perempuan pasti tidak terlepas dari keinginan untuk ingin saling sayang menyayangi. Hidup tidak sempurna sekiranya tidak ada kekasih. Itulah kata sesetengah dari kalangan mereka yang bercinta. Rasa cinta adalah anugerah Allah kepada setiap manusia. Jiwa memerlukan cinta sebagaimana jasad perlukan makanan. Cinta ibarat api yang menjadi sumber tenaga kepada kehidupan. Ia menyinari alam. Dengan kekuatan cinta manusia sanggup dan mampu menempuh pelbagai rintangan. Gunung sanggup didaki, lurah sanggup dituruni, lautan sanggup direnangi semata-mata untuk memiliki cinta. Hebatkan yang dinamakan cinta. Allah menghadiahkan perasaan cinta dalam keadaan yang cukup murni. Namun jika kemurniaannya tercemar, jadilah ia api yang membakar hangus. Bukan lagi sumber kehidupan tetapi pemusnah yang menghancurkan, tidak lagi menyinari alam tetapi menjadi alam hitam kelam seperti arang. Kehidupan di dunia hanyalah sebahagian dari siri perjalanan yang panjang seorang manusia. Bermula dari alam roh, kita berpindah ke alam rahim sebagai janin yang berkembang sehingga dilahirkan ke dunia sebagai bayi. Kini kita berada di alam dunia menghabiskan usia sehingga proses kematian membawa kita berpindah ke alam barzakh. Di barzakh kita menunggu sehingga kiamat untuk semua manusia dikumpulkan di alam mahsyar. Di mahsyar proses pengiraan amal berlaku membawa kepada perhentian terakhir kita, Syurga atau neraka. Alam yang paling kritikal adalah alam dunia di mana kita diberi kebebasan untuk memilih jalan hidup. Disinilah penentuan sama ada cinta yang dikurniakan Allah ini membahagiakan sehingga merentasi barzakh, mahsyar dan ke Syurga abadi di mana kemuncak kebahagian cinta akan dinikmati atau menuju neraka yang seksanya tiada batasan! Dia yang mencipta cinta telah mencipta juga ‘peraturan cinta’ demi untuk menjaga kemurniaan cinta itu sendiri. Cinta yang mematuhi peraturan ini sahaja yang akan mampu merentas alam sehingga ke Syurga. Malangnya peraturan ini kerap dilanggar oleh manusia yang sedang bercinta. Malahan yang haram menjadi halal dan yang halal menjadi haram. Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, tidak bergayut ditelefon mahupun sistem pesanan ringkas (SMS) cinta yang membuai rasa, tiada sentuhan tangan dan tiada kerlingan dan senyuman? Ada suara dari dalam diri kita mungkin merungut begini. Yakinlah tidak ada keindahan dan kebahagian dalam melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta, frust menonggeng fenomena cinta yang begitu popular di kalangan manusia adalah disebabkan cinta yang tercemar kemurniaannya. Banyak cinta bukan sahaja hancur sebelum mencecah alam perkahwinan malah membawa dendam yang membara. Inilah cinta terlarang. Cinta yang tidak mampu merentas alam malah mati sebelum kematian manusia itu sendiri. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan boleh berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlaku ‘cinta terlarang’. Cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak fitrah tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Cinta yang penciptaan asalnya bertujuan membahagiakan dan membantu meringankan bebanan hidup menjadi beban paling berat dan penjara paling menyeksakan. Allah kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Lebih-lebih lagi bila hukumnya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah malah loyar buruk mengatakan Allahkan Maha Pengampun? Tubuh kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah yang ketiga. Bila bermula satu sentuhan, hampir mustahil mundur kebelakang apabila nafsu dan syaitan sudah menguasai. Semuanya seolah-olah halal atas alasan cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan fitrah cinta dianggap baja. Akhirnya berbuahlah pohon cinta terlarang. Pahit, masam, beracun dan memabukkan. Buah yang menjijikkan. Ketika itu hilanglah kemanisan cinta. Jika cinta begini yang diburu, tidak pelik jika cinta muncul dalam hidup rupa monster yang menakutkan... kerana ia memberi pengalaman yang menyakitkan. Lalu cuba salahkan orang lain yang ‘menabur janji kosong’ ‘manis kata di bibir’ tapi hati lain berbicara. Malah ada yang hingga tahap menyalahkan takdir kerana memisahkan ‘cinta suci’ antara dua insan. Cinta terlarang begini bukan destinasinya neraka di akhirat malah neraka sepanjang perjalanan di dunia. Kemanisannya hanya dapat dirasai dititik permulaan! Rasa cinta yang murni sangat inginkan kebahagian untuk dicintai. Dia tidak akan membiarkan orang yang dicintai terluka sedikit pun. Dia akan melakukan apa sahaja demi untuk kebahagiaan yang dicintai tanpa mengharapkan balasan. Hukum cinta ialah, beri dahulu pasti kita akan memetik hasilnya. Cinta yang paling murni dari Allah untuk hamba-Nya. Dia yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim memberi dan terus memberi kepada hamba-Nya. Hubungan cinta yang menuntut ‘penyerahan diri’ sebelum ikatan sah melalui akad nikah pastinya bukan cinta murni kerana ia bukan sahaja meminggirkan Allah yang mencipta cinta malah mengetepikan soal mempertahankan maruah dan harga diri pasangan yang kononnya dicintai sepenuh hati. Jika benar seorang lelaki mencintai seorang wanita dengan cinta murni, mana mungkin dia sanggup merobek kehormatan wanita. Seorang lelaki yang mencintai seorang wanita pastinya mahu melindungi dari sebarang kerosakkan. Dia tidak akan sanggup membakar kekasihnya walau dengan puntung rokok sekalipun, tetapi kenapa sanggup menempah api neraka dengar membiarkan sentuhan terlarang berlaku? Allah SWT berfirman: “Janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu yang buruk.” (QS. Al-Isra’[17]: 32). Apakah pengertian dari zina? Nabi Muhammad SAW yang menyayangi kita bersabda: “Allah Ta’ala mencatat anak Adam bagiannya dari perbuatan zina. Dia pasti mengalami perzinaan itu. Zina mata adalah dengan memandang, zina lidah adalah dengan berkata, dan zina hati adalah berangan-angan. Dan farji (kemaluan) membenarkan perbuatan itu dan mendustakannya.” (HR. Ahmad). Mendekati zina saja dilarang, apatah lagi melakukannya. Jika engkau ingin dicintai Allah, maka hendaklah sentiasa menjaga diri terutama hati dari sesuatu yang tidak dihalal-Nya. Kerana sesungguhnya hati it barada dalam tangan Allah, mohonlah pada-Nya agar hati ini selalu dijaga agar teguh pada agama-Nya seperti doa yang selalu Rasulullah panjatkan: Ya muqallibal qulub tsabbit qulubana ‘ala dinik. “Wahai Zat yang membolak-balik qalbu, teguhkanlah hati kami pada agama-Mu.” (HR. Ahmad dari Aisyah r.a) Untuk memastikan cinta yang terjalin mampu merentas alam, hendaklah cinta itu didasarkan kepada cinta Allah.... cinta yang diberikan semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan boleh menghampiri diri kepada-Nya. Cintailah sesiapa pun tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan wanita mestilah diniatkan untuk memiliki cinta Allah. Tapi bagaimana ya? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seseorang lelaki atau wanita menyempurnakan agamanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya.” Jangan sekali-kali bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti bukan kerana Allah. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan. Mematuhi syari’at adalah benteng terkuat daripada terjebak ke dalam jurang cinta terlarang. Kekuatan dan kemampuan untuk mematuhi syari’at pula hanya dapat dimiliki hati meletakkan Tuhan sebagai cinta teragung. Hati yang mencintai hanya kerana Allah. Perasaan cinta adalah amanah dari Allah, maka pastikan ianya hanya diberikan kepada yang akan sama-sama menjaga amanah ini. Maka pohonlah kekuatan dari Allah. Tuhan yang menciptakan cinta agar cinta yang dijalinkan tidak membawa ke arah menjauhi-Nya dan sekaligus tidak membawa ke neraka... Semoga kita selalu menjadi muslim yang dicintai Allah, kerana sesungguhnya Allah sangat mencintai hamba-hamba yang mencintai-Nya.

0 comments:

Post a Comment