Sunday, August 15, 2010

Mahasiswa Mendepani Cabaran Ummah

Dewasa ini kita melihat pelbagai permasalahan dan kepincangan berlaku sehingga mencalarkan imej negara. Antaranya gejala sosial yang semakin membarah, masalah kebejatan akhlak, kes zina dan pembuangan bayi yang rata-ratanya dilakukan oleh golongan muda-mudi Islam dan pelbagai masalah lain yang membuktikan rosaknya mentaliti golongan yang bakal memimpin negara. Mahasiswa merupakan aset negara yang tidak ternilai. Terpundak dibahu mahasiswa satu tugasan penting yang bakal mencorakkan masa depan negara iaitu tugasan sebagai agen perubah (agent of change). Sejarah Islam mencatatkan pelbagai contoh dan kisah yang boleh kita kiaskan kepada dunia mahasiswa dan dunia pemuda. Kisah Nabi Ibrahim, Umar al-Khattab, Zaid bin Harithah, Abu Ubaidah al-Jarrah, Ashabul Kahfi dan ramai lagi yang boleh dijadikan iktibar. Allah telah berfirman : نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية آمنوا بربهم وزدناهم هدى (13) Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi: 13) Namun, perkara sebaliknya berlaku kepada warga mahasiswa Islam amnya dan mahasiswa Timur Tengah khususnya. Mereka semakin hilang fokus dan tersasar dari tujuan sebenar yang telah ditaklifkan kepada manusia iaitu sebagai pentadbir bumi dan penyebar risalah seterusnya bertugas bagi mendaulatkan Islam. Maka selayaknya sebagai golongan yang sering digambarkan sebagai terpelajar, intelektual, berwawasan dan sebagainya perlulah mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu dan pengetahuan demi memenuhi panggilan Islam. Beberapa perkara perlu dititik beratkan oleh golongan ini untuk merealisasikan harapan dancita-cita Islam antaranya : 1. Melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam setiap aspek kehidupan 2. Memantapkan aqidah, akhlak dan jiwa yang semakin taat kepada perintah Allah 3. Menjadikan diri sebagai ikon yang wajar dicontohi 4. Melakukan pengislahan atau pembaikan diri dan sikap 5. Memanfaatkan setiap saat dan berdisiplin dalam menjaga waktu 6. Menjuarai pelbagai isu dan menjawab segala kekeliruan yang berlaku Setiap mahasiswa perlu memainkan peranan masing-masing sebaiknya tanpa mengabaikan sudut lain yang dirasakan tidak penting. Mahasiswa perlu bersikap lebih berani dan terkehadapan. Golongan ini tidak selayaknya mencipta pelbagai alasan, mempunyai sikap berkecuali serta merasakan tidak mempunyai kepentingan dalam melaksanakan amanah ini. Fungsi sebagai mahasiswa perlu dimainkan sebaiknya. Mafhum dari sabda Rasulullah S.A.W :“Mereka yang bijak adalah mereka yang mendekatkan diri mereka dengan amalan untuk kehidupan selepas mati, manakala mereka yang bodoh itu adalah mereka yang bercita-cita terhadap Allah (Syurga dan nikmatnya) dalam keadaan mereka mengikuti hawa nafsu mereka (yang bertentangan dengan syari‘at)” Justeru itu, marilah sama-sama kita menjadikan kehidupan universiti ini sebagai satu medan praktikal sebelum terjun ke dunia realiti dan menjadikan kehidupan dunia ini sebagai ladang yang akan dipetik hasilnya di akhirat kelak. Kita tidak akan dipersoalkan tentang bilangan kejayaan yang diperolehi tetapi apakah usaha yang dilakukan bagi menjalankan misi dakwah dimuka bumi ini. Usaha ini perlu dilakukan bermula hari ini. Moga usaha ini akan dapat mendaulatkan Islam suatu hari nanti. Siiru’ala barakatillah ‘Izzati Farhana binti Mahadzir Penasihat HEWI Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2010

0 comments:

Post a Comment