Sunday, August 15, 2010

Tahniah Dan Takziah Kepada Kepimpinan Yang Baru

Bismillah Walhamdulillah... Mesyuarat Agung Tahunan PMRAM cawangan PERAK telah berlangsung pada 8 dan 9 Ogos yang lalu. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah dan takziah kepada kepimpinan AJKT dan AJK HEWI Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2010/2011. Mudah-mudahan barisan kepimpinan yang baru, dapat memikul amanah yang telah ALLAH pundakkan ini sebaik mungkin. Sudah pastilah di hadapan kalian nanti hanya dugaan dan cabaran yang setia menanti. Sesungguhnya jalan dakwah itu tidak dibentangkan dengan permaidani merah dan ditaburi dengan bunga-bunga nan mewangi. Teringat saya pada kitab karangan Mustafa Mahsyur yang bertajuk 'Jalan Dakwah'. Bagaimana pengarang menyenaraikan antara sifat-sifat jalan dakwah yang boleh dikategorikan kepada 3 bahagian. Pertama - Sifatnya yang susah dan memerlukan masa yang panjang. Cuba kita soroti kisah nabi Nuh a.s yang berdakwah kepada kaumnya selama 900 tahun untuk mentauhidkan ALLAH SWT. 900 tahun itu bukanlah masa yang singkat dan sedia kita maklumi bahawa hanya segelintir sahaja yang beriman kepada ALLAH SWT. Ambillah contoh ini sebagai suri tauladan kepada kita semua kerana sesungguhnya sifat jalan dakwah itu antaranya adalah susah dan panjang masanya. Kedua - Pengikutnya kena tekun dan sabar untuk pikul bebanan, dan saya kira sifat ini lebih menjurus kepada pengikut yang menjadi ahli. Cuba kita renungi kisah 3 orang sahabat nabi yang telah diiqab kerana tidak menyertai peperangan Tabuk yang ketika itu melawan bala tentera dari Rom. Bagaimana sabar dan tekunnya Kaab Bin Malik, Mararah Bin Ar-Rabie dan Hilal bin Umaiyah ketika dipulaukan oleh sahabat handai dan kaum kerabat mereka yang telah berlangsung selama 50 hari. Ketiga - Penyiksaan dari golongan thagut dan musuh-musuh ALLAH yang mahu menghapuskan mereka. Sesungguhnya penyiksaan ini adalah perkara biasa yang telah berulangkali berlaku dari zaman silam hingga ke hari ini. Boleh kita lihat contoh bagaimana kebalnya iman Bilal Bin Rabah yang disiksa di tengah-tengah padang pasir yang sangat terik waktu itu hanya kerana telah mentauhidkan ALLAH SWT. Justeru, marilah kita bersama menghulurkan bantuan kepada pimpinan selagi mana mereka mengajak kita ke arah pentauhidan kepada ALLAH SWT. Kepada seluruh pemimpin kami, bawalah kami semua ke jalan yang mendapat redha ALLAH SWT dan rasulNya.

0 comments:

Post a Comment