Tuesday, March 30, 2010

FENOMENA KELEMAHAN JIWA bahagian akhir

RAWATAN Rawatan tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu berbentuk umum dan khusus. RAWATAN UMUM Rawatan umum ialah apa yang dikatakan sebagai 'tarbiyyah pencegahan' yang membawa erti penyerapan secara meluas roh tarbiyah di kalangan masyarakat kita. Jika ini dapat dilaksanakan nescaya penyakit jiwa hari ini akan berkurangan. Antara rawatan yang perlu ialah : -SALING NASIHAT MENASIHATI DENGAN ADAB YANG BAIK. Orang tua menasihati orang muda secara lembut dengan penuh rasa kasih sayang. Orang muda menasihati orang tua dengan beradab dan penuh rasa hormat. Tidak mahu memberi nasihat adalah suatu perkara yang tidak baik dan ia berpunca dari lemahnya keazaman dan kemahuan dalam diri. Takut merupakan salah satu daripada halangan untuk seseorang memberi nasihat. Justeru, kumpulkan keazaman dan kuatkan kemahuan untuk menyatakan kepada orang yang membuat kejahatan 'engkau telah melakukan kesilapan'. -TIDAK MEMUJI ORANG LAIN SECARA TERANG-TERANGAN. Ini bertujuan agar kita tidak menghentam seseorang dari belakang. Rasulullah SAW telah banyak memberi amaran terhadap perkara ini. Seorang lelaki telah memuji sahabatnya di hadapan Rasulullah SAW lantas baginda bersabda, maksudnya :"Jika kamu melihat orang memuji maka lumurkan mukanya dengan tanah". -JANGAN MELANTIK ORANG YANG TIDAK BERKELAYAKAN UNTUK MEMIMPIN. Dalam mengarah dan memimpin manusia tanpa persediaan adalah amat berbahaya kerana mereka ini belum lagi menjalani tempoh pembentukan diri yang sempurna terlebih dahulu. Tidak digilap cermin hatinya dengan wirid, tidak disuburkan mindanya dengan ilmu yang bermanfaat dan tidak dilatih jiwanya dengan mujahadah. Sekiranya mereka telah melalui semua ini, barulah dapat melahirkan pemimpin yang benar-benar menghayati syariat Allah SWT. -CINTAKAN SEMANGAT KEPERWIRAAN DAN BENCIKAN 'JAWATAN' (HUBBUR RI'ASAH). Perasaan cintakan semangat keperwiraan dan bencikan jawatan perlulah disemai di dalam diri setiap sanubari manusia dan menghindarinya sedaya mungkin. Dalam masa itu, perlu juga diawasi diri dari rasa cinta untuk memimpin. Masakan tidak? tamak dan gila kuasa adalah salah satu tanda cintakan dunia. Orang yang inginkan akhirat tidak begitu meminta-minta kuasa dan mengidamkannya kerana mereka mengetahui tentang bahayanya. Manakala orang yang suka diberi jawatan, akan lebih mengikut hawa nafsu, merasa mulia dengan tanggungjawab dan menagih jawatan. Keinginan terhadap tugas tersebut hanyalah untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya.. Ini semua akan terserlah melalui tingkah laku dan sikapnya terhadap orang lain. dia tidak mahu bermesyuarat dan berbincang. Tindak tanduknya membabi-buta dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tanpa mengira risiko. -SENTIASA MENGIKTIRAF NIKMAT ALLAH. Janganlah sesiapapun menyangka bahawa dengan ilmu, penonjolan, pengorbanan atau jihad yang telah dilakukannya akan berhak mengecapi nikmat Allah?. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Allah sahajalah yang berhak membangkit-bangkitkan kurnianya kepadamu kerana Dia menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu orang yang benar beriman". Surah Al-Hujjurat : 17. -TIDAK BERPUAS HATI DENGAN DIRI SENDIRI. Berpuas hati dengan pencapaian diri dan mengikut hawa nafsu adalah penyebab bagi segala bencana dan punca segala keaiban. Berkaitan dengan perkara ini Allah SWT berfirman dengan apa yang diucapkan oleh nabi Yusuf AS maksudnya : "Aku tidak berani membersihkan diriku kerana nafsu manusia sangat menyuruh membuat kejahatan. Kecuali sesiapa yang disayangi TuhanNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Kita hendaklah menanam dalam diri sikap tidak berpuas hati dengan diri sendiri dan seterusnya tidak cenderung kepada kehendak hawa nafsu. Ini semua tidak akan terhasil melainkan kita sentiasa menganggap tahap ketaatan kita terhadap perintah Allah SWT sentiasa rendah dan tidak memuaskan. Hendaklah kita sentiasa melihat kepada diri sendiri dengan pandangan yang serba kekurangan dan sentiasa merasa diri kerdil meskipun kita memiliki bakat, kemampuan kekuasaaan dan kedudukan di sisi masyarakat sekalipun banyak melakukan ibadat dan ketaatan kepada Allah SWT. RAWATAN KHUSUS -PERKARA YANG PALING UTAMA IALAH KEMAHUAN UNTUK MENGUBAH DIRI. MENGAKUI KELEMAHAN YANG ADA DALAM JIWA. SENTIASA BERUSAHA UNTUK MENENTUKAN JENIS PENYAKIT KERANA DENGAN ITU AKAN MELAHIRKAN KEAZAMAN DAN KEMAHUAN UNTUK MENGUBATI PENYAKIT JIWANYA. -MEMBUAT RESOLUSI DIRI SENDIRI BAHAWA MELAKUKAN PERUBAHAN HANYA KERANA ALLAH SWT. SEGALA URUSAN BERMULA DAN BERAKHIR DENGAN IZIN ALLAH SWT DAN DENGAN KEAGUNGAN RAHMATNYA. -MENGGANDAKAN USAHA DALAM MELERAI KEMELUT JIWA. -MENBINA DIRI. -SENTIASA BERMUHASABAH DAN MENGHUKUM DRI KETIKA PERLU. IANYA TIDAK SEMPURNA MELAINKAN KITA MENJADIKANNYA SEBAGAI WIRID UNTUK MUHASABAH HARIAN. -BERDAMPING DENGAN ORANG-ORANG YANG BAIK DAN MULIA SERTA SESIAPA YANG LEBIH ISTIMEWA DARIPADANYA DI SEGI BAKAT DAN KEMAMPUAN YANG SAMA. TERUTAMANYA BAKAT YANG IA SANGKAKAN DIRINYA MENGATASI ORANG LAIN. -SENTIASA MENGIKUTI KISAH PERJALANAN HIDUP PARA SOLEHIN DAN ORANG-ORANG YANG TAWADHU'. Dipetik dari buku Fenomena Kelemahan Jiwa Dan Kedah Rawatannya oleh Dr. Majdi Al-Hilali.

Sunday, March 28, 2010

FENOMENA KELEMAHAN JIWA bahagian III

SEBAB-SEBAB YANG MEMBAWA KEPADA KELEMAHAN JIWA : -SIKAP IBUBAPA YANG TIDAK MENGAMBIL BERAT TENTANG PENDIDIKAN ANAK-ANAK SEJAK KECIL. Tanpa disedari, keadaan tersebut membawa kepada penyerapan nilai-nilai yang negatif ke dalam jiwa anak-anak. Umpamanya mengatakan bahawa : "Kamu lebih baik dan mulia daripada orang lain. Kamu adalah keturunan yang baik. Kamulah golongan yang berharta banyak jika dibandingkan dengan orang lain". Sentiasa memuji dan menyanjung mereka tanpa sebab. Memenuhi tuntutan anak-anak samada mendatangkan manfaat atau tidak, enggan mengenakan hukuman ataupun memberikan tunjuk ajar sekiranya mereka melakukan kesilapan sebaliknya dengan mudah membebaskan mereka merupakan antara perkara yang menjadikan mereka terbiasa dengan kesilapan. -CARA TARBIYYAH YANG TERLALU KERAS, KASAR DAN BERBENTUK PAKSAAN. Ini menjadikan anak-anak terperangkap dengan dirinya sendiri dan menjadikan jiwa mereka pasif. Akhirnya, mereka cuba untuk meneguhkan diri sendiri dan menjadi hero di hadapan orang lain. Mendakwa dirinya hebat dan handal malah seorang jaguh. Pada hakikatnya, semua itu adalah sangkaan yang meragukan dan palsu semata-mata. Dengan itu, leburlah keperibadian, tewas dengan diri sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan pandangan serta pegangannya di hadapan orang lain. Alangkah mudahnya tewas meskipun dalam pertarungan yang terlalu remeh. -LEMAH DALAM MEMBINA JIWA ANAK-ANAK DAN SUASANA PERSEKITARAN YANG TIDAK MENGGALAKKAN. Anak-anak tidak sempat menamatkan pengajian dan tidak mampu menguasai ilmu serta rapuhnya hubungan kekeluargaan dan lain-lain lagi. Dengan itu, anak-anak akan menjadikan suasana luaran sebagai alternatif bagi meneguhkan diri dan menampung segala kekurangan diri. Ini semua akan menjadikan mereka ta'sub pada pandangan peribadi dan menggesa orang lain supaya menerima pandangannya. Cuba menampilkan diri sebagai seorang yang mengetahui segala perkara tersirat. Golongan ini tidak jemu bercakap tentang perkara yang boleh membersihkan imej sendiri dan mengangkat martabatnya di sisi orang lain. -BAKAT DAN KEUPAYAAN TERTENTU YANG TIDAK DIPUPUK SEJAK KECIL DENGAN NORMA-NORMA KEHIDUPAN YANG MENGIKTIRAF BAHAWA SEGALA ANUGERAH TERSEBUT ADALAH DARI ALLAH. Sepatutnya mereka sentiasa bersyukur kepada Allah SWT yang Maha Pencipta. Hal yang sedemikian perlu dititikberatkan, jika tidak mereka akan membesar dengan rasa tinggi dari orang lain. Kadang-kadang bakat serta kebolehan sendiri menyebabkan kehancuran sekiranya ia tidak digunakan dengan bijaksana. Kisah Qarun boleh dijadikan sebagai pengajaran yang terbaik. -TIDAK ADA SIFAT SALING NASIHAT MENASIHATI SESAMA MANUSIA. Nasihat merupakan suatu perkara yang amat pahit untuk diterima. Lantaran itu, ramai yang enggan memberi nasihat dan mermuka-muka kerana bimbang orang yang dinasihati akan berubah hati terhadapnya dan menimbulkan kemarahan. Sentimen itu, boleh mencetuskan anggapan pada sesetengah pihak bahawa kesilapan adalah kebenaran. Maka mereka yang bersalah terus bergelumang dengan kesalahannya. -TIDAK MENITIKBERATKAN PEMBINAAN DALAMAN. Peringkat usia 30-an dihabiskan tanpa sebarang usaha untuk menyempurnakan segala kekurangan yang ada. Lantas menyebabkan gejala lemah jiwa sebati dalam diri dan keperibadiannya. Mendidik anak-anak diwaktu kecil umpama mengukir di atas batu. Seperti mana yang telah kita ketahui dalam kisah Ashabul Ukhdud, kita melihat apa yang diminta oleh tukang sihir daripada raja adalah seorang anal kecil. Daripada Suhaib RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : "Ada seorang raja sebelum zamanku yang memiliki seorang sihir apabila tukang sihirnya tua, dia berkata kepada si raja :"Sesungguhnya aku telah tua, utuskan kepadaku seorang budak agar aku boleh mengajarnya ilmu sihir". Maka raja tersebut mengutuskan seorang budak kepadanya untuk diajarkan sihir...". Riwayat Muslim. -TIDAK MEMUHASABAH DIRI SECARA BERTERUSAN. BERPUAS HATI DENGAN AMAL IBADAT TANPA MELIHAT KEPADA PERCUBAAN HAWA NAFSU UNTUK MENGUASAINYA. Apabila seseorang itu mampu menilik diri dan amalan lahiriah, sebaliknya mengabaikan amalan hati seperti ikhlas, membenarkan Allah, bertawakkal kepada Allah dan mengembalikan dirinya kepadanya. Takut akan berlakunya riya', takabbur, ujub, terpedaya dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan kecatatan amal, maka sifat tercela tersebut bermaharajalela di dalam diri tanpa disedari lantas dia menyangka bahawa dia sudah beruntung. Merasa dirinya tergolong dikalangan orang-orang yang soleh dan ahli syurga sedangkan itu bukanlah ciri-ciri orang soleh yang sebenar. Hakikatnya orang yang soleh sepertimana yang disifatkan oleh Al-Quran : Maksudnya : "Dan orang-orang yang telah memberikan apa-apa yang telah diberikannya (sedekah, zakat dan sebagainya) sedang hati mereka itu takut kerana mereka akan kembali kepada tuhanNya". Al-Mukminun : 60 -MENONJOL DAN MENAMPILKAN DIRI TANPA PERSEDIAAN DAN PEMBENTUKAN AWAL. Mereka yang tampil kehadapan dan terdedah kepada kemahsyuran sebelum sampai waktunya akan mudah tergelincir dalam banyak perkara seperti mana yang disebut oleh Imam As-Syafie yang bermaksud : "Apabila terkehadapan orang muda yang belum mantap ilmunya hilanglah darinya ilmu yang banyak". Ini akan membantutkan usaha mencari ilmu, membentuk diri, mendidik jiwa dan menghidupkan hati. Sesetengah manusia apabila disuluh dengan cahaya kemahsyuran sedangkan dia masih belum ada persediaan diri yang mantap maka samalah keadaanya sepeti orang yang menghampiri cahaya dan mendapati dirnya terlalu besar sedangkan itu hanyalah bayang-bayang. Sedangkan dirinya tetap tidak berubah. Bersambung... *Dipetik dari buku Fenomena Kelemahan Jiwa dan Kaedah Rawatannya oleh Dr Majdi Al-Hilali.

Thursday, March 25, 2010

FENOMENA KELEMAHAN JIWA bahagian II

Sesiapa yang ingin merawat sesuatu penyakit, maka terlebih dahulu hendaklah mengenalpasti jenis penyakit yang dihadapi. Jika kita menghidap penyakit insyaAllah pasti ada ubatnya. Namun apabila penyakit yang kita hadapi itu mungkin penyakit dalaman, adakah mampu untuk kita mencari pelbagai penawar untuk memutihkan semula jiwa kita?. Antara contoh-contoh kelemahan jiwa yang banyak dihidapi oleh manusia zaman ini adalah : -TAASUB DENGAN PANDANGAN PERIBADI Tidak kira samada pandangan ini besar ataupun sebaliknya. Apabila pendapatnya disanggah maka dia akan cuba untuk mempertahankannya. -TIDAK MAHU MENGAKUI KESILAPAN DIRI SENDIRI Melakukan apa sahaja untuk mengelakkan diri dari melakukan kesilapan dan adakalanya memaksa diri untuk melakukan pendustaan. -MERASA SEMPIT DADA BILA DIKRITIK DAN DINASIHAT Merasakan kepahitan dan kesakitan yang teramat sangat apabila dikritik dan diberi nasihat. Lebih-lebih lagi jika yang memberi nasihat itu lebih muda daripadanya. -BAHAGIA DAN SERONOK DENGAN PUJIAN Pengidap penyakit ini terlalu ramai. Mereka akan merasa sukacita dan seronok bila mendapat pujian, lebih-lebih lagi jika yang memuji tersebut adalah orang yang memiliki kedudukan dan pangkat. -GEMBIRA DAN SERONOK APABILA MENDAPAT PERHATIAN -GILA KUASA, GHAIRAH UNTUK MENONJOLKAN DIRI DAN MAHU SENTIASA DIPILIH Golongan ini biasanya merasa gah dengan tanggungjawab dan sentiasa bergelut untuk merebut suatu jawatan walau dengan apa cara sekalipun. Masakan tidak, ini semua adalah jalan untuk kemegahan dan meraih pangkat. -TIDAK MENGAKUI KESILAPAN DAN KEKURANGAN DIRI Golongan ini sentiasa ingin lari daripada mengingati kepincangan diri dan cuba untuk menyembunyikannya agar orang lain tidak akan menganggap bahawa dirinya lemah. -TIDAK MENUNAIKAN HAK ORANG LAIN Sentiasa merasa berat untuk melaksanakan hak orang lain seperti menziarahi orang sakit, melepaskan kesusahan orang lain, menolong orang yang dizalimi dan sebagainya. -MENGUNGKIT-UNGKIT SEGALA KHIDMAT BAKTI DAN AMAL KEBAIKAN Golongan ini tidak jemu-jemu menyebut segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dilakukannya. Sentiasa mengharapkan ucapan terima kasih dan penghargaan dari sesiapa yang telah mendapat khidmatnya. Bahkan mengkehendaki orang lain segera menunaikan hajatnya, memulakan salam, berhenti ketika terserempak dengannya dan lain-lain lagi. -TERPEDAYA DENGAN KEBOLEHAN DAN KELEBIHAN SENDIRI Mereka ini tidak menyandarkan segala kelebihan dan kenikmatan kepada Allah SWT sebaliknya menyandarkan kepada diri semata-mata. -TIDAK SUKA ORANG LAIN MEMPEROLEHI KEBAIKAN Berasa sedih dan sempit hati jika melihat orang lain mendapat nikmat serta mengharapkan nikmat itu tidak kekal. Sebaliknya seronok dan gembira bila melihat orang lain ditimpa musibah. -MERASAKAN DIRINYA SAHAJA YANG BERHAK UNTUK BERCAKAP DI DALAM MANA-MANA MAJLIS YANG DIHADIRINYA Anda melihat orang ini sentiasa memintas percakapan orang lain, menjawab apa sahaja yang diperkatakan, suka memperkatakan tentang hal diri sendiri, meninggi diri dengan tujuan untuk berbangga dengan pencapaian sendiri dan kehandalannya. -MENGHEBAHKAN AMAL KEBAJIKAN SENDIRI Berusaha untuk menyandarkan segala usaha yang telah dilakukannya adalah hasil titik peluhnya sendiri, bukan hasil usaha orang lain. Golongan ini amat marah apabila hasil kerja dan kebajikannya disandarkan kepada orang lain dan jiwanya menjadi tidak tenteram. -SENTIASA TAKUTKAN KEMISKINAN Terlalu bakhil, takut ditimpa kemiskinan dan kesempitan hidup adalah antara identiti mereka. -TIDAK MAMPU UNTUK BERHADAPAN DENGAN ORANG LAIN KERANA MERASA LEMAH DIRI Tidak terdaya menerima hakikat kesalahan diri sendiri dan cuba lari daripadanya. -MUDAH BERUBAH PENDAPAT DAN GOYAH PENDIRIAN Apa yang menyedihkan ialah dia telah tewas dihadapan orang lain dan diri sendiri tanpa disedari. Dia seringkali mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tetapi tidak berani untuk dia nyatakn kerana takut kepada celaan dan dipersendakan. Bersambung... *Dipetik dari buku Fenomena Kelemahan Jiwa Dan Kaedah Rawatannya oleh Dr. Majdi Al-Hilali

Wednesday, March 24, 2010

FENOMENA KELEMAHAN JIWA bahagian I

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakannya (Allah). Lalu diilhamkan oleh Allah kepadanya mana yang buruknya dan mana yang baiknya. Surah As-Syams : 7-10. Dalam ayat ini dengan jelas telah Allah terangkan bahawa manusia dijadikan bersama nafsu ammarah yang cenderung kepada kejahatan. Pastinya setiap yang berlaku ada sebabnya. Mengapa? Kerana Allah ingin menguji sejauh mana tulusnya pengabdian manusia terhadap Allah SWT. Antara sifat-sifat tersebut adalah berlaku zalim, kejahilan, bersifat bakhil dan pelbagai lagi sifat mazmumah yang ada dalam diri. Allah telah mencipta sifat ini sebagai satu medium untuk menguji kejujuran pengabdian hambanya kepada Allah SWT. Sungguh, harus kita ketahui bahawa andai manusia tanpa nafsu sebegini seumpama malaikat yang tidak pernah menderhaka kepada Allah SWT. Manusia ini dapat kita bahagikan kepada 3 golongan : GOLONGAN PERTAMA Mereka yang beriman kepada Allah SWT, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat serta qada dan qadar Allah SWT. Menjadikan syariat sebagai panduan hidup dan sangat percaya bahawa nafsu boleh menghalang mereka dari mendapat halawatul iman. Nafsu tersebut berada di antara 2 tulang rusuk manusia dan menjadi salah satu dari musuh-musuh manusia. Manusia diseru supaya kuat untuk menentang hawa nafsu dan syahwat. Menggadaikan jiwa raganya semata-mata kerana ingin menyahut seruan Allah SWT. Sentiasa mentauhid dan membesarkan Allah SWT. Menjauhi segala larangan, sentiasa hidup besederhana, tawakkal serta redha dengan apa yang telah berlaku, berterus terang dengan kebenaran, tidak mendedahkan diri kepada cinta dunia, sentiasa beriltizam dengan sunnah nabi serta banyak lagi sifat mahmudah yang telah di ajar oleh baginda nabi. GOLONGAN KEDUA Golongan kedua ialah mereka yang mengikut hawa nafsu dan langsung tidak berbantah dengan segala tuntutannya. Mereka ini sedang menuju kepada kehancuran. Mereka telah berpaling daripada menyembah Allah kepada menyembah hawa nafsu dan syahwat. Mereka telah dikekangkan dengan segala yang haram. Tidak menjaga solat yang lima serta kefardhuan yang lainnya. Telah banyak hukum-hukum Allah yang telah mereka ejek dan sendakan. Bersikap riak juga banyak berbohong untuk melepaskan diri dari segala maksiat yang telah mereka lakukan. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Adakah engkau melihat orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan? Adakah engkau menjadi wakil penjaga untuknya?. Bahkan adakah engkau kira bahawa kebanyakkan mereka mendengar atau memikirkannya? Mereka tidak lain hanya seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat jalannya". Al-Furqan : 43. GOLONGAN KETIGA Golongan ini adakalanya tunduk dengan hawa nafsu dan adakala menghalangnya. Kadang-kadang mereka mengabdikan diri kepada nafsu dan kadang-kadang kepada Allah SWT. Golongan inilah yang sangat ramai dewasa ini. Suatu ketika mereka menumpaskan hawa nafsu namun terkadang nafsu pula yang menjadi raja dalam beberapa perkara lain. Saudara-saudariku, Pertarungan melawan hawa nafsu adalah pertarungan yang getir dan hebat. Hanya mati penyudahnya. Oleh itu, wajib bagi kita untuk sentiasa koreksi diri dan memeriksa hati agar tidak mudah tewas kepada hawa nafsu. Pohonkan kepada Allah SWT agar kekuatan itu kita miliki. Bersambung... *dipetik dari buku Fenomena Kelemahan Jiwa Dan Kaedah Rawatannya oleh Dr Majdi Al-Hilali.

Saturday, March 20, 2010

Sifat Seorang Muslim

Dalam kitab Risalah Ta'lim karangan Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah digarispandukan tentang 10 sifat baik yang perlu ada dalam membentuk diri ke arah yang lebih positif. 10 sifat ini merupakan nadi penggerak para daei dalam meneruskan usaha untuk menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi ini. Point-point penting ini terdapat di dalam rukun yang ketiga iaitu rukun AMAL. Sebagai manusia biasa yang serba-serbinya kurang, kita harus berusaha supaya sifat-sifat positif ini mesra dengan jiwa dan jasad kita.
Mari kita koreksi diri, adakah 10 sifat ini kita miliki. Jika tidak, usahakan dari sekarang agar anggota badan kita mula terbit rasa cinta untuk berubah ke arah yang lebih baik. -KUAT TUBUH BADAN Allah lebih menyayangi muslim yang kuat dari yang lemah. Tubuh badan yang kuat, antara faktor keberjayaan sesuatu dakwah. Usahakan sesuatu agar rohani dan jasmani kita kuat. Carilah punca dan cuba rawat secepat mungkin andai kita diserang penyakit. Seteruk-teruk sakit zahir...lebih teruk sakit batin. -AMPUH BUDI PEKERTI Budi bahasa budaya kita. Muslim harus punya akhlak yang kukuh. Jika akhlak luntur tiada siapa yang akan pandang kita. Contohi akhlak Rasulullah SAW. Sentiasa bercakap benar dan berani menyatakan kebenaran walaupun di hadapan penguasa yang zalim. Jangan ketawa berdekah-dekah, menepati janji, lemah-lembut, selalu memaafkan,tunaikan hak-hak manusia dengan sempurna, sentiasa senyum dan bermanis muka, kurangkan marah dan banyak lagi sifat-sifat baik yang telah diajar oelh Rasulullah SAW. -TAJAM DAN BERPENDIDIKAN FIKIRANNYA Cuba untuk menambah ilmu setiap hari. Samada dari sudut pembacaan ataupun pengalaman. -MAMPU BEKERJA DAN BERUSAHA Bukan menjadi muslim yang banyak meminta. Islam melarang sifat malas dan lemah. Usahakanlah apa juga pekerjaan yang halal untuk menyara keluarga kita. Jangan benarkan makanan yang masuk ke dalam mulut keluarga kita itu dari sumber yang syubhah dan haram. Mendidik hati untuk qanaah(berpada-pada). Infaqkan harta ke jalan yang halal. -SEJAHTERA AQIDAH Punyai kefahaman yang jelas tentang Islam. -SOHEH IBADAH Tunaikan perintah Allah dengan betul. Perelokkan bacaan Quran dan tadabbur. Al-Quran dan As-Sunnah jangan diambil separuh-separuh. Hadirkan niat di dalam setiap amalan. Sebolehnya jagalah sunnah, perbanyakkan membaca buku tentang penyucian jiwa. sentiasa bermuhasabah dan solat di awal waktu. -MUJAHADAH DIRI Menahan diri dari melakukan segala sesuatu yang haram. Kekangkan nafsumu dengan banyak ingatkan Allah. Jihad melawan musuh sama tahapnya dengan jihad untuk melawan hawa nafsu yang buas. Jika tidak, masakan Rasulullah SAW berkata kepada seluruh sahabat setelah selesai berperang agar nafsu-nafsu semua dilawan. -MENJAGA WAKTU Muslim sejati, muslim yang menjaga waktunya. Waktu adalah kehidupan. Lazimilah taubat dan istighfar, zikir dan sentiasa membaca Al-Quran. Tepati janji. -BERSISTEMATIK DALAM URUSAN Bersih dalam setiap perkara samada tempat tinggal ataupun tubuh badan. Usaha untuk amalkan apa yang termampu dalam kehidupan. -BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN Usaha agar diri menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah SAW. Usaha untuk menyampaikan ilmu walaupun sepatah perkataan.

Friday, March 19, 2010

Seputar KOOL '10

Alhamdulillah, hari Keluarga Orang-Orang Laut 2010 (KOOL '10) yang dianjurkan oleh PMRAM cawangan Iskandariah berjalan dengan lancarnya. Program yang telah berlangsung selama 2 hari di Dewan Zajlatul Abidah dan 2 hari lagi di Dewan Tusun Basha ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari ahli. Hanya sebahagian sahaja kenangan manis yang sempat dirakamkan. Sesuai dengan tema laut pada tahun ini nama-nama firqah juga diubah kepada kuda laut(Ummu Dzar), obor-obor(Nusaibah), tapak sulaiman(Atiqah) dan batu karang(Zinnirah). Kalah dan menang adat pertandingan. apa yang penting adalah ukhuwwah kita makin bersemi sesuai dengan tema program yang dibawa iaitu 'Ukhuwwah Di Hati Islam Terpatri'. Mudah-mudahan 3 piawaian program yang digariskan oleh PMRAM pusat dapat diterapkan kepada semua ahli. 3 piawaian tersebut antaranya ialah dapat mempamerkan imej ISLAM di dalam setiap program yang dijalankan dan memperluaskan ikatan sillatur rahmi sesama ahli dan bukan ahli. Mudah-mudahan kita semua beroleh manfaat. Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami di jalanMu dan untuk mentaatiMu. Ameen...
pertandingan movie maker biah solehah
pertandingan forum
pertandingan pidato 3 bahasa
pertandingan melukis kartun Islamik
pertandingan menghias bingka carrot
pertandingan indoor 'congkak'
pertandingan indoor 'khat'
gimik pelancaran KOOL '10 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM pusat Al-Ustazah Siti Anisah Binti Ahmad.
banner KOOL '10

Friday, March 12, 2010

Analisa Diri

"Ingatlah ketika Rabb-mu berfirman kepada para malaikat : "Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka berkata : "Apakah patut Engkau menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji engkau dan mensucikan Engkau?". Allah berfirman : "Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". Surah Al-Baqarah : 30. Apakah maksud khalifah? Siapakah khalifah itu? Bilakah ianya akan berfungsi? Khalifah bermaksud penolong, pentadbir dan segala sesuatu maksud yang berkaitan dengan pemakmur bumi Allah. Ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa manusia yang serba-serbinya kurang ini telah Allah angkat darjatnya untuk mentadbir bumi walaupun akan membuat kerosakan dan kemusnahan. Dalam meneruskan perjalanan hidup kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini sewajarnya kita sentiasa menganalisa diri. Sedar tidak sedar kita adalah khalifah yang telah Allah maksudkan itu. Sewajarnya kita sentiasa menganalisa diri dengan kalam-kalam Allah dan hadith-hadith nabi SAW. Adakah kita dengan atau tanpa sedar telah melakukan maksiat kepada Allah? Adakah kita telah menutup aurat dengan tutupan yang sempurna? Adakah kita telah membuat kebaikan kepada kedua ibu-bapa kita? Adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar dengan sempurna? Adakah kita telah menyatakan kalimah yang benar walaupun di hadapan pemimpin yang zalim? Adakah kita telah meletakkan Allah di segenap denyut nadi kita?. Analisalah diri kita semua sebelum kita dianalisa oleh ALLAH SWT. Hanya kita yang tahu apa yang telah kita buat. Pilihan di atas tangan kita, mahu masuk ke neraka atau ke syurga. Tiada siapa yang dapat membantu andai telah sampai nafas kita di rongga hidung. Baki umur yang masih berbaki ini, gunakanlah sebaik mungkin untuk meloloskan diri dari neraka jahannam yang sungguh dahsyat itu. Mari kita bulatkan tekad untuk menjadi hamba yang kenal erti hamba. Ayuh kita mula menganalisa diri.

Tuesday, March 9, 2010

Orang Yang Ku Sayang-Sayang

Hafizah Nayan bersama dengan adinda bongsunya Nurul Huda Nayan (bergambar di hadapan rumah 25 tahun yang lalu).
Rabiatul Adawiah Aswardy yang sedang penat berjogging di Taman Tasik Taiping.
Aizad Akasyah Mohd Khairi
9 Mac 2010 kembali lagi tahun ini alhamdulillah. Atas kesempatan yang ada ingin saya nukilkan sesuatu di atas catatan peribadi saya ini... Selamat Hari Lahir buat kekanda saya Hafizah Binti Nayan yang menyambut hari lahir ke-33. Juga buat pengarang jantung kakak dan abang saya Rabiatul Adawiah Binti Aswardy, menyambut hari lahir yang ke-3 serta Aizad Akashah Bin Mohd Khairi pada esok hari (10 Mac) yang menyambut hari lahir ke-10. Moga kita semua berada di bawah lembayung rahmat kasih ILLAHI. Perbanyakkan amalan kerana bila-bila masa sahaja kita akan dijemput 'pulang'. Buat adik Nana dan adik Jat, jadilah anak-anak yang soleh dan solehah. Permata hati ayahbonda. Saya sayang kalian! *hari ini saya masuk pertandingan pantun. Ada harapan nak menang ke? :)

Wednesday, March 3, 2010

Visa ahli D.P.M.I

Al-Azhar cawangan Iskandariah
Tadi siang saya ke pejabat imigresen di Manshiah untuk menghidupkan ‘nyawa’ saya yang hanya bernafas selama setahun itu. Urusannya sangat menguji kesabaran. Bayangkan, terpaksa menunggu 5 jam untuk mendapatkan hanya nombor fail sahaja!. Sungguh berpinar dan sesak menunggu. Namun saya akui, inilah tarbiah namanya. Bumi Mesir adalah bumi tarbiah. Tarbiah Jasmaniah. Untuk mengasak jiwa kebal dan kental, tarbiah jasmaniah ini sangat diperlukan. Saya dan ahli DPMI hanya ke pejabat imigresen sekali setahun. Bayangkan Pengarah dan AJK JAWAZAT DPMI berulang-alik ke sana setiap hari kerana menemani kita!. Sungguh kental jiwa-jiwa mereka menahan tribulasi yang datang. Itu hanya baru urusan di pejabat imigresen. Sebelum sampai ke tahap ini, ada beberapa perkara yang diselesaikan oleh Pengarah dan AJK JAWAZAT DPMI untuk kita semua. Ingin saya nukilkan disini beberapa pertolongan yang dihulurkan oleh mereka untuk mendapatkan ‘nyawa-nyawa’ kita itu semua. 1.Mengumumkan date line untuk ahli DPMI menghantar butiran-butiran berkenaan visa. (Kalau ahli hantar lambat, borang tidak boleh diproses lagi.) 2.Membayar yuran kita di kuliah.(Kalau nama tidak ikut tertib, mereka kena isi borang lain! Selalunya tidak tertib kerana kita menghantar butiran peribadi lambat.) 3.Menunggu sehingga kita semua mendapat tasdik kuliah. 4.Tolong isikan borang untuk kita. 5.Tolong fotostatkan apa-apa yang tidak lengkap untuk kita. 6.Tolong bawakan kita ke Pejabat Imigresen. (Setiap hari kena menunggu sehingga semua selesai membuat urusan). 7.Tolong tengokkan nama kita samada telah muqayyad (naik) atau tidak untuk dapatkan visa. 8.Tolong bawakan pasport kita ke Manshiah semula untuk dapatkan cop visa kita yang telah ber'nyawa'. Sahabat-sahabat, banyak atau tidak kerja yang terpaksa mereka lakukan untuk mendapatkan perkara peribadi kita? Cuba kita bandingkan apa pula usaha kita untuk membantu Pengarah dan AJK JAWAZAT DPMI bagi mendapatkan 'nyawa' kita itu. 1.Hantar butiran peribadi berkenaan visa. (Kadang-kadang terlewat hantar.) 2.Pergi ke pejabat imigresen. 3.Tunggu visa siap. 4.Ambil di markaz. 5.Komen Pengarah dan AJK JAWAZAT DPMI kenapa visa lambat dapat. (Ini saya tambah sendiri.) Sahabat-sahabat, sikit atau tidak kerja kita? Saya serahkan jawapannya kepada ahli DPMI semuanya. Cubalah kita selami kejerih-payahan orang lain dalam membantu kita. Jangan kita menjadi pendesak. Urusan di bahagian Jawazat DPMI telah selesai. Cepat atau lambat kita mendapat visa bergantung kepada pejabat imigresen di Manshiah pula. Mohon kita semua berdoa semoga segala urusan kita Allah mudahkan. *tambahan : -urusan kuliah dan pejabat imigresen di Iskandariah WAJIB dibuat secara majmu'ah (beramai-ramai). -jumlah terkini ahli DPMI seramai 458 orang sahaja. -seketika menunggu tadi, ada sekumpulan warga Azhariah (Malaysia) yang ingin membuat sendiri urusan visa mereka. Tapi kerani-kerani di kaunter tidak melayan mereka. -jangan lupa ucapkan terima kasih kepada mereka-mereka yang membantu kita ya :).