Wednesday, March 24, 2010

FENOMENA KELEMAHAN JIWA bahagian I

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakannya (Allah). Lalu diilhamkan oleh Allah kepadanya mana yang buruknya dan mana yang baiknya. Surah As-Syams : 7-10. Dalam ayat ini dengan jelas telah Allah terangkan bahawa manusia dijadikan bersama nafsu ammarah yang cenderung kepada kejahatan. Pastinya setiap yang berlaku ada sebabnya. Mengapa? Kerana Allah ingin menguji sejauh mana tulusnya pengabdian manusia terhadap Allah SWT. Antara sifat-sifat tersebut adalah berlaku zalim, kejahilan, bersifat bakhil dan pelbagai lagi sifat mazmumah yang ada dalam diri. Allah telah mencipta sifat ini sebagai satu medium untuk menguji kejujuran pengabdian hambanya kepada Allah SWT. Sungguh, harus kita ketahui bahawa andai manusia tanpa nafsu sebegini seumpama malaikat yang tidak pernah menderhaka kepada Allah SWT. Manusia ini dapat kita bahagikan kepada 3 golongan : GOLONGAN PERTAMA Mereka yang beriman kepada Allah SWT, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat serta qada dan qadar Allah SWT. Menjadikan syariat sebagai panduan hidup dan sangat percaya bahawa nafsu boleh menghalang mereka dari mendapat halawatul iman. Nafsu tersebut berada di antara 2 tulang rusuk manusia dan menjadi salah satu dari musuh-musuh manusia. Manusia diseru supaya kuat untuk menentang hawa nafsu dan syahwat. Menggadaikan jiwa raganya semata-mata kerana ingin menyahut seruan Allah SWT. Sentiasa mentauhid dan membesarkan Allah SWT. Menjauhi segala larangan, sentiasa hidup besederhana, tawakkal serta redha dengan apa yang telah berlaku, berterus terang dengan kebenaran, tidak mendedahkan diri kepada cinta dunia, sentiasa beriltizam dengan sunnah nabi serta banyak lagi sifat mahmudah yang telah di ajar oleh baginda nabi. GOLONGAN KEDUA Golongan kedua ialah mereka yang mengikut hawa nafsu dan langsung tidak berbantah dengan segala tuntutannya. Mereka ini sedang menuju kepada kehancuran. Mereka telah berpaling daripada menyembah Allah kepada menyembah hawa nafsu dan syahwat. Mereka telah dikekangkan dengan segala yang haram. Tidak menjaga solat yang lima serta kefardhuan yang lainnya. Telah banyak hukum-hukum Allah yang telah mereka ejek dan sendakan. Bersikap riak juga banyak berbohong untuk melepaskan diri dari segala maksiat yang telah mereka lakukan. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Adakah engkau melihat orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan? Adakah engkau menjadi wakil penjaga untuknya?. Bahkan adakah engkau kira bahawa kebanyakkan mereka mendengar atau memikirkannya? Mereka tidak lain hanya seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat jalannya". Al-Furqan : 43. GOLONGAN KETIGA Golongan ini adakalanya tunduk dengan hawa nafsu dan adakala menghalangnya. Kadang-kadang mereka mengabdikan diri kepada nafsu dan kadang-kadang kepada Allah SWT. Golongan inilah yang sangat ramai dewasa ini. Suatu ketika mereka menumpaskan hawa nafsu namun terkadang nafsu pula yang menjadi raja dalam beberapa perkara lain. Saudara-saudariku, Pertarungan melawan hawa nafsu adalah pertarungan yang getir dan hebat. Hanya mati penyudahnya. Oleh itu, wajib bagi kita untuk sentiasa koreksi diri dan memeriksa hati agar tidak mudah tewas kepada hawa nafsu. Pohonkan kepada Allah SWT agar kekuatan itu kita miliki. Bersambung... *dipetik dari buku Fenomena Kelemahan Jiwa Dan Kaedah Rawatannya oleh Dr Majdi Al-Hilali.

Saturday, March 20, 2010

Sifat Seorang Muslim

Dalam kitab Risalah Ta'lim karangan Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna telah digarispandukan tentang 10 sifat baik yang perlu ada dalam membentuk diri ke arah yang lebih positif. 10 sifat ini merupakan nadi penggerak para daei dalam meneruskan usaha untuk menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi ini. Point-point penting ini terdapat di dalam rukun yang ketiga iaitu rukun AMAL. Sebagai manusia biasa yang serba-serbinya kurang, kita harus berusaha supaya sifat-sifat positif ini mesra dengan jiwa dan jasad kita.
Mari kita koreksi diri, adakah 10 sifat ini kita miliki. Jika tidak, usahakan dari sekarang agar anggota badan kita mula terbit rasa cinta untuk berubah ke arah yang lebih baik. -KUAT TUBUH BADAN Allah lebih menyayangi muslim yang kuat dari yang lemah. Tubuh badan yang kuat, antara faktor keberjayaan sesuatu dakwah. Usahakan sesuatu agar rohani dan jasmani kita kuat. Carilah punca dan cuba rawat secepat mungkin andai kita diserang penyakit. Seteruk-teruk sakit zahir...lebih teruk sakit batin. -AMPUH BUDI PEKERTI Budi bahasa budaya kita. Muslim harus punya akhlak yang kukuh. Jika akhlak luntur tiada siapa yang akan pandang kita. Contohi akhlak Rasulullah SAW. Sentiasa bercakap benar dan berani menyatakan kebenaran walaupun di hadapan penguasa yang zalim. Jangan ketawa berdekah-dekah, menepati janji, lemah-lembut, selalu memaafkan,tunaikan hak-hak manusia dengan sempurna, sentiasa senyum dan bermanis muka, kurangkan marah dan banyak lagi sifat-sifat baik yang telah diajar oelh Rasulullah SAW. -TAJAM DAN BERPENDIDIKAN FIKIRANNYA Cuba untuk menambah ilmu setiap hari. Samada dari sudut pembacaan ataupun pengalaman. -MAMPU BEKERJA DAN BERUSAHA Bukan menjadi muslim yang banyak meminta. Islam melarang sifat malas dan lemah. Usahakanlah apa juga pekerjaan yang halal untuk menyara keluarga kita. Jangan benarkan makanan yang masuk ke dalam mulut keluarga kita itu dari sumber yang syubhah dan haram. Mendidik hati untuk qanaah(berpada-pada). Infaqkan harta ke jalan yang halal. -SEJAHTERA AQIDAH Punyai kefahaman yang jelas tentang Islam. -SOHEH IBADAH Tunaikan perintah Allah dengan betul. Perelokkan bacaan Quran dan tadabbur. Al-Quran dan As-Sunnah jangan diambil separuh-separuh. Hadirkan niat di dalam setiap amalan. Sebolehnya jagalah sunnah, perbanyakkan membaca buku tentang penyucian jiwa. sentiasa bermuhasabah dan solat di awal waktu. -MUJAHADAH DIRI Menahan diri dari melakukan segala sesuatu yang haram. Kekangkan nafsumu dengan banyak ingatkan Allah. Jihad melawan musuh sama tahapnya dengan jihad untuk melawan hawa nafsu yang buas. Jika tidak, masakan Rasulullah SAW berkata kepada seluruh sahabat setelah selesai berperang agar nafsu-nafsu semua dilawan. -MENJAGA WAKTU Muslim sejati, muslim yang menjaga waktunya. Waktu adalah kehidupan. Lazimilah taubat dan istighfar, zikir dan sentiasa membaca Al-Quran. Tepati janji. -BERSISTEMATIK DALAM URUSAN Bersih dalam setiap perkara samada tempat tinggal ataupun tubuh badan. Usaha untuk amalkan apa yang termampu dalam kehidupan. -BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN Usaha agar diri menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah SAW. Usaha untuk menyampaikan ilmu walaupun sepatah perkataan.

Friday, March 19, 2010

Seputar KOOL '10

Alhamdulillah, hari Keluarga Orang-Orang Laut 2010 (KOOL '10) yang dianjurkan oleh PMRAM cawangan Iskandariah berjalan dengan lancarnya. Program yang telah berlangsung selama 2 hari di Dewan Zajlatul Abidah dan 2 hari lagi di Dewan Tusun Basha ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari ahli. Hanya sebahagian sahaja kenangan manis yang sempat dirakamkan. Sesuai dengan tema laut pada tahun ini nama-nama firqah juga diubah kepada kuda laut(Ummu Dzar), obor-obor(Nusaibah), tapak sulaiman(Atiqah) dan batu karang(Zinnirah). Kalah dan menang adat pertandingan. apa yang penting adalah ukhuwwah kita makin bersemi sesuai dengan tema program yang dibawa iaitu 'Ukhuwwah Di Hati Islam Terpatri'. Mudah-mudahan 3 piawaian program yang digariskan oleh PMRAM pusat dapat diterapkan kepada semua ahli. 3 piawaian tersebut antaranya ialah dapat mempamerkan imej ISLAM di dalam setiap program yang dijalankan dan memperluaskan ikatan sillatur rahmi sesama ahli dan bukan ahli. Mudah-mudahan kita semua beroleh manfaat. Wahai tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami di jalanMu dan untuk mentaatiMu. Ameen...
pertandingan movie maker biah solehah
pertandingan forum
pertandingan pidato 3 bahasa
pertandingan melukis kartun Islamik
pertandingan menghias bingka carrot
pertandingan indoor 'congkak'
pertandingan indoor 'khat'
gimik pelancaran KOOL '10 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi HEWI PMRAM pusat Al-Ustazah Siti Anisah Binti Ahmad.
banner KOOL '10

Friday, March 12, 2010

Analisa Diri

"Ingatlah ketika Rabb-mu berfirman kepada para malaikat : "Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka berkata : "Apakah patut Engkau menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji engkau dan mensucikan Engkau?". Allah berfirman : "Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". Surah Al-Baqarah : 30. Apakah maksud khalifah? Siapakah khalifah itu? Bilakah ianya akan berfungsi? Khalifah bermaksud penolong, pentadbir dan segala sesuatu maksud yang berkaitan dengan pemakmur bumi Allah. Ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa manusia yang serba-serbinya kurang ini telah Allah angkat darjatnya untuk mentadbir bumi walaupun akan membuat kerosakan dan kemusnahan. Dalam meneruskan perjalanan hidup kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini sewajarnya kita sentiasa menganalisa diri. Sedar tidak sedar kita adalah khalifah yang telah Allah maksudkan itu. Sewajarnya kita sentiasa menganalisa diri dengan kalam-kalam Allah dan hadith-hadith nabi SAW. Adakah kita dengan atau tanpa sedar telah melakukan maksiat kepada Allah? Adakah kita telah menutup aurat dengan tutupan yang sempurna? Adakah kita telah membuat kebaikan kepada kedua ibu-bapa kita? Adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar dengan sempurna? Adakah kita telah menyatakan kalimah yang benar walaupun di hadapan pemimpin yang zalim? Adakah kita telah meletakkan Allah di segenap denyut nadi kita?. Analisalah diri kita semua sebelum kita dianalisa oleh ALLAH SWT. Hanya kita yang tahu apa yang telah kita buat. Pilihan di atas tangan kita, mahu masuk ke neraka atau ke syurga. Tiada siapa yang dapat membantu andai telah sampai nafas kita di rongga hidung. Baki umur yang masih berbaki ini, gunakanlah sebaik mungkin untuk meloloskan diri dari neraka jahannam yang sungguh dahsyat itu. Mari kita bulatkan tekad untuk menjadi hamba yang kenal erti hamba. Ayuh kita mula menganalisa diri.

Tuesday, March 9, 2010

Orang Yang Ku Sayang-Sayang

Hafizah Nayan bersama dengan adinda bongsunya Nurul Huda Nayan (bergambar di hadapan rumah 25 tahun yang lalu).
Rabiatul Adawiah Aswardy yang sedang penat berjogging di Taman Tasik Taiping.
Aizad Akasyah Mohd Khairi
9 Mac 2010 kembali lagi tahun ini alhamdulillah. Atas kesempatan yang ada ingin saya nukilkan sesuatu di atas catatan peribadi saya ini... Selamat Hari Lahir buat kekanda saya Hafizah Binti Nayan yang menyambut hari lahir ke-33. Juga buat pengarang jantung kakak dan abang saya Rabiatul Adawiah Binti Aswardy, menyambut hari lahir yang ke-3 serta Aizad Akashah Bin Mohd Khairi pada esok hari (10 Mac) yang menyambut hari lahir ke-10. Moga kita semua berada di bawah lembayung rahmat kasih ILLAHI. Perbanyakkan amalan kerana bila-bila masa sahaja kita akan dijemput 'pulang'. Buat adik Nana dan adik Jat, jadilah anak-anak yang soleh dan solehah. Permata hati ayahbonda. Saya sayang kalian! *hari ini saya masuk pertandingan pantun. Ada harapan nak menang ke? :)

Wednesday, March 3, 2010

Visa ahli D.P.M.I

Al-Azhar cawangan Iskandariah
Tadi siang saya ke pejabat imigresen di Manshiah untuk menghidupkan ‘nyawa’ saya yang hanya bernafas selama setahun itu. Urusannya sangat menguji kesabaran. Bayangkan, terpaksa menunggu 5 jam untuk mendapatkan hanya nombor fail sahaja!. Sungguh berpinar dan sesak menunggu. Namun saya akui, inilah tarbiah namanya. Bumi Mesir adalah bumi tarbiah. Tarbiah Jasmaniah. Untuk mengasak jiwa kebal dan kental, tarbiah jasmaniah ini sangat diperlukan. Saya dan ahli DPMI hanya ke pejabat imigresen sekali setahun. Bayangkan Pengarah dan AJK JAWAZAT DPMI berulang-alik ke sana setiap hari kerana menemani kita!. Sungguh kental jiwa-jiwa mereka menahan tribulasi yang datang. Itu hanya baru urusan di pejabat imigresen. Sebelum sampai ke tahap ini, ada beberapa perkara yang diselesaikan oleh Pengarah dan AJK JAWAZAT DPMI untuk kita semua. Ingin saya nukilkan disini beberapa pertolongan yang dihulurkan oleh mereka untuk mendapatkan ‘nyawa-nyawa’ kita itu semua. 1.Mengumumkan date line untuk ahli DPMI menghantar butiran-butiran berkenaan visa. (Kalau ahli hantar lambat, borang tidak boleh diproses lagi.) 2.Membayar yuran kita di kuliah.(Kalau nama tidak ikut tertib, mereka kena isi borang lain! Selalunya tidak tertib kerana kita menghantar butiran peribadi lambat.) 3.Menunggu sehingga kita semua mendapat tasdik kuliah. 4.Tolong isikan borang untuk kita. 5.Tolong fotostatkan apa-apa yang tidak lengkap untuk kita. 6.Tolong bawakan kita ke Pejabat Imigresen. (Setiap hari kena menunggu sehingga semua selesai membuat urusan). 7.Tolong tengokkan nama kita samada telah muqayyad (naik) atau tidak untuk dapatkan visa. 8.Tolong bawakan pasport kita ke Manshiah semula untuk dapatkan cop visa kita yang telah ber'nyawa'. Sahabat-sahabat, banyak atau tidak kerja yang terpaksa mereka lakukan untuk mendapatkan perkara peribadi kita? Cuba kita bandingkan apa pula usaha kita untuk membantu Pengarah dan AJK JAWAZAT DPMI bagi mendapatkan 'nyawa' kita itu. 1.Hantar butiran peribadi berkenaan visa. (Kadang-kadang terlewat hantar.) 2.Pergi ke pejabat imigresen. 3.Tunggu visa siap. 4.Ambil di markaz. 5.Komen Pengarah dan AJK JAWAZAT DPMI kenapa visa lambat dapat. (Ini saya tambah sendiri.) Sahabat-sahabat, sikit atau tidak kerja kita? Saya serahkan jawapannya kepada ahli DPMI semuanya. Cubalah kita selami kejerih-payahan orang lain dalam membantu kita. Jangan kita menjadi pendesak. Urusan di bahagian Jawazat DPMI telah selesai. Cepat atau lambat kita mendapat visa bergantung kepada pejabat imigresen di Manshiah pula. Mohon kita semua berdoa semoga segala urusan kita Allah mudahkan. *tambahan : -urusan kuliah dan pejabat imigresen di Iskandariah WAJIB dibuat secara majmu'ah (beramai-ramai). -jumlah terkini ahli DPMI seramai 458 orang sahaja. -seketika menunggu tadi, ada sekumpulan warga Azhariah (Malaysia) yang ingin membuat sendiri urusan visa mereka. Tapi kerani-kerani di kaunter tidak melayan mereka. -jangan lupa ucapkan terima kasih kepada mereka-mereka yang membantu kita ya :).