Friday, February 26, 2010

Syahdu dan Sendu...

Allahumma solli wa sallim wa barik 'alaihi wa 'ala aalih... Cuaca semalam dan hari ini, hujan serta mendung. Semalam langit ILLAHI menurunkan hujan batu dan hari ini cuaca mendung. Seolah-olah memahami dan mengerti dengan peristiwa bersejarah hari ini. Peristiwa kelahiran seorang manusia terpuji. Yang yatim sejak dalam perut Bondanya. Di gelar Al-Amin kerana sifatnya yang amanah. Yang bakal memberikan syafaat kepada ummatnya. Di bibir baginda hanya kalimah ummati, ummati, ummati... walaupun sakarat sedang menunggu di pintu. Allahumma solli wasallim wa barik 'alaihi wa 'ala aalih... Suasana Dewan Zajlatul Abidah pagi Jumaat ini sangat syahdu. Seawal jam 8 pagi AJKT DPMI yang diketuai oleh Unit Dakwah & Pembangunan Insan (Nurul Bazilah Hussin) mengalunkan burdah bersama hadirat yang hadir. Bergema markaz ini dengan kalam-kalam pujian untuk Rasulullah. Sungguh hati saya mula bergetar. 8.30 pagi acara yang memang dijadualkan untuk dipersembahkan kepada penonton bermula. Pentomen "USLUB DAKWAH RASULULLAH" yang telah dijayakan oleh hampir 35 orang ahli DPMI berjaya menarik minat semua penonton yang hadir. Motifnya sangat jelas dan bersahaja namun mampu menggetarkan jiwa-jiwa. Saya syahdu dalam sendu. Kami merindui mu Rasulullah! Usai pentomen, laungan burdah dan qasidah kembali sambung-menyambung. Jam 11 pagi kami semua bersurai setelah menerima amanat dari Raisah (Rabiatul Hazirah Ramli) yang kami cintai. Mudah-mudahan ada 'ibrah yang tersemat di hati kita hari ini. Ameen. Allhumma solli wa sallim wa barik 'alaihi wa 'ala aalih... Sahabat Fillah, kita bukanlah figur yang memulakan perjuangan bukan juga yang mengakhirkannya. Namun, beratkah kita untuk menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah SAW? Jika bukan kita siapa lagi? Jika bukan sekarang bila lagi? Dan jika bukan di sini, di mana lagi? Rasulullah! Kami merinduimu...

Wednesday, February 24, 2010

Madad Ya Rasulullah

Nabi Muhammad SAW itu adalah sebaik-baik orang Arab dan Ajam, Nabi Muhammad SAW itu adalah sebaik-baiik orang yang berjalan, Nabi Muhammad SAW itu penyebar perkara makruf dan berakhlak dengannya, Nabi Muhammad SAW itu seorang yang memiliki ihsan dan kemuliaan, Nabi Muhammad SAW itu adalah mahkota para pesuruh Allah sekaliannya, Nabi Muhammad SAW itu adalah benar dalam kata-kata dan bicaranya, Nabi Muhammad SAW itu adalah benar dalam janji bahkan sentiasa menjaganya, Nabi Muhammad SAW itu mempunyai akhlak yang terpuji dan baik sifatnya, Nabi Muhammad SAW itu kejadiannya disertai dengan nur, Nabi Muhammad SAW itu akan sentiasa bercahaya sejak azali, Nabi Muhammad SAW itu hakim pada keadilan yang mempunyai kemuliaan, Nabi Muhammad SAW itu asal tempat lahirnya nikmat-nikmat dan hikmah-hikmah, Nabi Muhammad SAW itu adalah sebaik-baik makhluk Allah dari mudhar, Nabi Muhammad SAW itu adalah sebaik-baik pesuruh Allah semuanya, Nabi Muhammad SAW itu agamanya benar yang kita beragama dengannya, Nabi Muhammad SAW itu sangat elok rupa dan peribadinya melebihi di atas bukit, Nabi Muhammad SAW itu dengan mengingatinya roh kekuatan pada diri kita, Nabi Muhammad SAW itu dengan syukur padanya menjadi kewajipan ke atas ummat, Nabi Muhammad SAW itu penghias dunia dan keelokkannya, Nabi Muhammad SAW itu pembuka kesempitan dan kegelapan, Nabi Muhammad SAW itu penghulu yang hebat perjalanan hidupnya, Nabi Muhammad SAW itu dijadikan Allah yang Maha Pemurah dengan segala nikmat, Nabi Muhammad SAW itu makhluk pilihan dari kalangan makhluk yang sebaik-baiknya, Nabi Muhammad SAW itu suci dari segala tohmahan, Nabi Muhammad SAW itu menyukai para tetamu kerana memuliakannya, Nabi Muhammad SAW itu kekasih Allah dan tidak pernah menzaliminya, Nabi Muhammad SAW itu menjadi keindahan dunia dengan perutusannnya, Nabi Muhammad SAW itu datang dengan mukjizat dan hikmah-hikmahnya, Nabi Muhammad SAW itu pada hari dibangkitkan manusia nanti menjadi pemberi syafaat kepada kita, Nabi Muhammad SAW itu cahayanya menunjuki dari kegelapan, Nabi Muhammad SAW itu membawa risalah Allah yang punyai azam yang kuat, Nabi Muhammad SAW itu penutup kepada para Rasul sekaliannya. Mari kita perbanyakkan selawat kepada Baginda Nabi SAW.

Friday, February 19, 2010

Bukankah Ini Juga 1 Sunnah?

Hari ini 5 Rabiul Awwal 1431 hijrah. Bulan yang sarat dengan sirah Baginda Nabi Muhammad SAW. Bulan di mana Baginda diputerakan. Ayuh mari bersama kita perbanyakkan selawat ke atas Baginda. Kitalah ummat yang disebut nabi diakhir-akhir pemergiannya. Maka sayugialah cinta dan rindu kita untuk Baginda. Pagi tadi, entah kuliah Jumaat yang ke berapa saya hadiri. Kebiasaaannya pada setiap pagi Jumaat kami berkumpul di Markaz untuk mendengar tazkirah dan kebetulan rakan serumah saya yang ditaklifkan untuk menyampaikan tazkirah tersebut. Kedatangan saya pagi tadi agak lewat dari biasa dan sewajarnya tempat duduk yang sesuai ialah di belakang semua orang. Rupa-rupanya ada hikmahnya saya berada di belakang semua orang ini. Sesuatu yang telah lama saya sedari namun hanya hari ini mampu saya ungkapkan secara realiti. Sungguh saya terkesan hari ini bila melihat banyak ruang yang sepatutnya dipenuhi oleh kita, tiada berpenghuni. Masakan majlis ilmu yang dinaungi dengan sayap-sayap para malaikat sebegini dibiarkan sepi? Kemana hilangnya peribadi yang berjanji setia untuk mengabdikan diri sebagai pewaris Nabi? Seringkali hanya wajah-wajah yang sama sahaja ke Kuliah Jumaat setiap minggu. Di mana sahabat-sahabat kita yang lain? Pernahkah kita ambil peduli dengan fenomena ini? Usai Kuliah Jumaat, Muzakarah Berkelompok sedia menanti semua. Sungguh hati ini tidak sabar untuk bertemu dengan sahabat seMuzakarah. Di lapangan Muzakarah Berkelompoklah kita belajar untuk mengenal erti Islam yang hakiki, melebarkan sayap ukhuwwah, berusaha untuk bercakap dan mengutarakan pendapat serta seharusnya mengenal erti susah dan senang bersama. Sesekali pasti kami berbalah, namun di situlah manisnya bila semuanya berlapang dada. Sungguh saya kenal semuanya di dalam muzakarah berkelompok. Sangat banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari muzakarah berkelompok ini. Namun mengapa hanya segelintir sahaja dari kita yang menyedarinya? Mengapa hanya sebahagian sahaja yang memainkan peranan dalam menjayakan kelangsungan dakwah Rasulullah? Bukankah ini juga satu sunnah yang nabi tinggalkan buat kita semua? Namun mengapa di kalangan kita masih tega membiarkan segalanya berlalu? Adakah permusafiran kita ke bumi kinanah ini sekadar menuntut ilmu di kuliah sahaja? Ingat sahabat, Muzakarah Berkelompok juga satu sunnah yang nabi tinggalkan buat kita semua. Alhamdulillah, DPMI baru saja selesai mengadakan program UCAP DASAR PRESIDEN PMRAM 2009 dan Muhasabah Separuh Penggal AJKT DPMI 09/10. Sangat banyak saya kira pendapat yang dilontarkan oleh sahabat sekelian dalam memastikan kelangsungan Muzakarah Berkelompok ini. Lega kerana masih ramai yang sayangkan DPMI dan PMRAM rupanya. Sewajarnya segala muhasabah dan cadangan yang dilontarkan oleh ahli, bersama kita fikirkan. Mudah-mudahan kita semua beroleh manfaat. Akhirnya, mari kita perbanyakkan selawat. Dan jangan lupa Jumaat minggu depan bersempena dengan kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW, kita beramai ke Dewan Zajlatul Abidah kerana ada 'sesuatu' yang menarik menanti anda semua.

Wednesday, February 10, 2010

Sekitar Kolokium Ilmuan DPMI siri pertama

Alhamdulillah, hanya perkataan itu yang mampu diluahkan setelah selesai program Kolokium Ilmuan siri pertama ini yang berlangsung pada 23 Safar 1431 / 8 Februari 2010. Setelah semua adhoc dan ajk bertungkus lumus memastikan perjalanan Q lancar, maka inilah hasilnya. Moga kita semua berpuas hati dengan gerakkerja yang dilakukan. Ini antara pose-pose 'menarik' yang sempat dirakamkan: Perasmian Kolokium Ilmuan siri pertama oleh Us Mohd Adlan Bin Mohtaruddin (Setiausaha Agung PMRAM 09) Diskusi kitab "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" oleh PRESIDEN PMRAM 09 Us Abd Muizz Bin Muhammad Pembentangan kertas kerja "Konsep Syahadah & Tuntutannya" oleh Us Akli bin Ahmad slot talk show "Kehidupan Seorang Duat". Oleh Us Hafis Abidin (YDP Penang) dan Us Ahmad Huzaifah Fauzi (Unit Dakwah & Pembangunan Insan DPM Shoubra) Gimik perasmian Kolokium Ilmuan siri pertama Banner Kolokium Ilmuan siri pertama DPMI

Monday, February 8, 2010

Jauhi Cinta Terlarang

Ana rasa terpanggil untuk mencoretkan apa yang berlaku pada senario hari ini. Adakah boleh bercinta? Apa yang ada dalam benak kita ketika mendengar kalimah ini? Menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang mengaku mencintai, kemudian membina hubungan dengannya (agar mengenal sifat mahupun akhlaknya berdasarkan niat untuk menjadi pasangan hidup dan lebih mengenali keluarganya) tanpa berdua-duaan, atau menjalin hubungan istimewa dengan seorang lelaki yang mengaku mencintai dan membiarkan diri berdua-duaan dengannya sehingga mengundang jalan masuknya syaitan dan akhirnya terjebak dalam perbuatan yang menjurus ke arah zina bahkan melakukan zina? Na’uzubillah.. Lelaki mahupun perempuan pasti tidak terlepas dari keinginan untuk ingin saling sayang menyayangi. Hidup tidak sempurna sekiranya tidak ada kekasih. Itulah kata sesetengah dari kalangan mereka yang bercinta. Rasa cinta adalah anugerah Allah kepada setiap manusia. Jiwa memerlukan cinta sebagaimana jasad perlukan makanan. Cinta ibarat api yang menjadi sumber tenaga kepada kehidupan. Ia menyinari alam. Dengan kekuatan cinta manusia sanggup dan mampu menempuh pelbagai rintangan. Gunung sanggup didaki, lurah sanggup dituruni, lautan sanggup direnangi semata-mata untuk memiliki cinta. Hebatkan yang dinamakan cinta. Allah menghadiahkan perasaan cinta dalam keadaan yang cukup murni. Namun jika kemurniaannya tercemar, jadilah ia api yang membakar hangus. Bukan lagi sumber kehidupan tetapi pemusnah yang menghancurkan, tidak lagi menyinari alam tetapi menjadi alam hitam kelam seperti arang. Kehidupan di dunia hanyalah sebahagian dari siri perjalanan yang panjang seorang manusia. Bermula dari alam roh, kita berpindah ke alam rahim sebagai janin yang berkembang sehingga dilahirkan ke dunia sebagai bayi. Kini kita berada di alam dunia menghabiskan usia sehingga proses kematian membawa kita berpindah ke alam barzakh. Di barzakh kita menunggu sehingga kiamat untuk semua manusia dikumpulkan di alam mahsyar. Di mahsyar proses pengiraan amal berlaku membawa kepada perhentian terakhir kita, Syurga atau neraka. Alam yang paling kritikal adalah alam dunia di mana kita diberi kebebasan untuk memilih jalan hidup. Disinilah penentuan sama ada cinta yang dikurniakan Allah ini membahagiakan sehingga merentasi barzakh, mahsyar dan ke Syurga abadi di mana kemuncak kebahagian cinta akan dinikmati atau menuju neraka yang seksanya tiada batasan! Dia yang mencipta cinta telah mencipta juga ‘peraturan cinta’ demi untuk menjaga kemurniaan cinta itu sendiri. Cinta yang mematuhi peraturan ini sahaja yang akan mampu merentas alam sehingga ke Syurga. Malangnya peraturan ini kerap dilanggar oleh manusia yang sedang bercinta. Malahan yang haram menjadi halal dan yang halal menjadi haram. Cinta apa namanya ini jika tidak ada dating, tidak bergayut ditelefon mahupun sistem pesanan ringkas (SMS) cinta yang membuai rasa, tiada sentuhan tangan dan tiada kerlingan dan senyuman? Ada suara dari dalam diri kita mungkin merungut begini. Yakinlah tidak ada keindahan dan kebahagian dalam melanggar peraturan Tuhan. Putus cinta, frust menonggeng fenomena cinta yang begitu popular di kalangan manusia adalah disebabkan cinta yang tercemar kemurniaannya. Banyak cinta bukan sahaja hancur sebelum mencecah alam perkahwinan malah membawa dendam yang membara. Inilah cinta terlarang. Cinta yang tidak mampu merentas alam malah mati sebelum kematian manusia itu sendiri. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan boleh berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlaku ‘cinta terlarang’. Cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak fitrah tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Cinta yang penciptaan asalnya bertujuan membahagiakan dan membantu meringankan bebanan hidup menjadi beban paling berat dan penjara paling menyeksakan. Allah kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Lebih-lebih lagi bila hukumnya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah malah loyar buruk mengatakan Allahkan Maha Pengampun? Tubuh kekasih dipegang walaupun jelas Allah mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingatkan Nabi bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah yang ketiga. Bila bermula satu sentuhan, hampir mustahil mundur kebelakang apabila nafsu dan syaitan sudah menguasai. Semuanya seolah-olah halal atas alasan cinta. Racun-racun berbisa yang memusnahkan fitrah cinta dianggap baja. Akhirnya berbuahlah pohon cinta terlarang. Pahit, masam, beracun dan memabukkan. Buah yang menjijikkan. Ketika itu hilanglah kemanisan cinta. Jika cinta begini yang diburu, tidak pelik jika cinta muncul dalam hidup rupa monster yang menakutkan... kerana ia memberi pengalaman yang menyakitkan. Lalu cuba salahkan orang lain yang ‘menabur janji kosong’ ‘manis kata di bibir’ tapi hati lain berbicara. Malah ada yang hingga tahap menyalahkan takdir kerana memisahkan ‘cinta suci’ antara dua insan. Cinta terlarang begini bukan destinasinya neraka di akhirat malah neraka sepanjang perjalanan di dunia. Kemanisannya hanya dapat dirasai dititik permulaan! Rasa cinta yang murni sangat inginkan kebahagian untuk dicintai. Dia tidak akan membiarkan orang yang dicintai terluka sedikit pun. Dia akan melakukan apa sahaja demi untuk kebahagiaan yang dicintai tanpa mengharapkan balasan. Hukum cinta ialah, beri dahulu pasti kita akan memetik hasilnya. Cinta yang paling murni dari Allah untuk hamba-Nya. Dia yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim memberi dan terus memberi kepada hamba-Nya. Hubungan cinta yang menuntut ‘penyerahan diri’ sebelum ikatan sah melalui akad nikah pastinya bukan cinta murni kerana ia bukan sahaja meminggirkan Allah yang mencipta cinta malah mengetepikan soal mempertahankan maruah dan harga diri pasangan yang kononnya dicintai sepenuh hati. Jika benar seorang lelaki mencintai seorang wanita dengan cinta murni, mana mungkin dia sanggup merobek kehormatan wanita. Seorang lelaki yang mencintai seorang wanita pastinya mahu melindungi dari sebarang kerosakkan. Dia tidak akan sanggup membakar kekasihnya walau dengan puntung rokok sekalipun, tetapi kenapa sanggup menempah api neraka dengar membiarkan sentuhan terlarang berlaku? Allah SWT berfirman: “Janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu yang buruk.” (QS. Al-Isra’[17]: 32). Apakah pengertian dari zina? Nabi Muhammad SAW yang menyayangi kita bersabda: “Allah Ta’ala mencatat anak Adam bagiannya dari perbuatan zina. Dia pasti mengalami perzinaan itu. Zina mata adalah dengan memandang, zina lidah adalah dengan berkata, dan zina hati adalah berangan-angan. Dan farji (kemaluan) membenarkan perbuatan itu dan mendustakannya.” (HR. Ahmad). Mendekati zina saja dilarang, apatah lagi melakukannya. Jika engkau ingin dicintai Allah, maka hendaklah sentiasa menjaga diri terutama hati dari sesuatu yang tidak dihalal-Nya. Kerana sesungguhnya hati it barada dalam tangan Allah, mohonlah pada-Nya agar hati ini selalu dijaga agar teguh pada agama-Nya seperti doa yang selalu Rasulullah panjatkan: Ya muqallibal qulub tsabbit qulubana ‘ala dinik. “Wahai Zat yang membolak-balik qalbu, teguhkanlah hati kami pada agama-Mu.” (HR. Ahmad dari Aisyah r.a) Untuk memastikan cinta yang terjalin mampu merentas alam, hendaklah cinta itu didasarkan kepada cinta Allah.... cinta yang diberikan semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan boleh menghampiri diri kepada-Nya. Cintailah sesiapa pun tetapi pastikan cinta itu dapat memudahkan kita mencintai Allah. Sehubungan dengan itu, cinta antara lelaki dan wanita mestilah diniatkan untuk memiliki cinta Allah. Tapi bagaimana ya? Iringilah dengan niat untuk berkahwin kerana berkahwin itu lebih memudahkan seseorang lelaki atau wanita menyempurnakan agamanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang itu berkahwin, sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya.” Jangan sekali-kali bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan. Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti bukan kerana Allah. Hakikatnya cinta itu adalah cinta terlarang yang akan membawa kemusnahan. Mematuhi syari’at adalah benteng terkuat daripada terjebak ke dalam jurang cinta terlarang. Kekuatan dan kemampuan untuk mematuhi syari’at pula hanya dapat dimiliki hati meletakkan Tuhan sebagai cinta teragung. Hati yang mencintai hanya kerana Allah. Perasaan cinta adalah amanah dari Allah, maka pastikan ianya hanya diberikan kepada yang akan sama-sama menjaga amanah ini. Maka pohonlah kekuatan dari Allah. Tuhan yang menciptakan cinta agar cinta yang dijalinkan tidak membawa ke arah menjauhi-Nya dan sekaligus tidak membawa ke neraka... Semoga kita selalu menjadi muslim yang dicintai Allah, kerana sesungguhnya Allah sangat mencintai hamba-hamba yang mencintai-Nya.

Sunday, February 7, 2010

Program Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah

Program khusus buat mahasiswi baru di Iskandariah. Semua dijemput hadir. Banyak input yang baru untuk antunna semua. Guna sebagai duat di jalan Allah. Program kedua bakal menyusul insyaAllah, untuk seluruh warga D.P.M.I. Muhasabah dan cadangan dari kalian akan dibuka pada hari tersebut. Jemput beramai-ramai bagi memeriahkan lagi program ini.