Wednesday, June 9, 2010

Barakallahu Lakum...

Bermula awal Jun sekolah-sekolah di Malaysia bercuti selama 2 minggu. Saya menerima beberapa kad jemputan maya daripada sahabat handai untuk bersama memeriahkan majlis raja dan ratu sehari mereka. Namun apakan daya, saya tidak mampu untuk memenuhi impian kalian semua kerana tugas saya di sini masih belum selesai. Hanya iringan doa saya sahaja yang turut mengiringi kalian. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur supaya dapat kita berjumpa suatu masa nanti. Ameen... Kad maya yang pertama saya terima dari Ukhti Nur Syafinnas Zahari. Masih teringat perkenalan kali pertama hampir 10 tahun yang lalu. Pertama kali bersua muka di Tanjung Rambutan, Sekolah Agama tempat Syafinnas mengajar 7 atau 8 tahun yang lalu. Sungguh cepat masa berlalu dan hari ini Syafinnas telah pun selamat menjadi suri kepada Ustaz Mohd Khairi. Barakallahu lakuma... Kemudian saya menerima jemputan daripada Ukhti Ansoriah Abu Bakar. Ukhti An merupakan junior saya di Maahad sebelum ini dan beliaulah orang pertama yang menyapa saya setibanya saya di Rumah Perak Kaherah. Sungguh kecil rasanya dunia waktu itu kerana ukhuwwah di bumi Maahad bersama kami tatang ke bumi Kinanah pula. Ukhti Ansoriah telah selamat menjadi suri di hati ustaz Fariq Damanhuri. Barakallahu lakuma... Jemputan maya yang ketiga telah ditag kepada saya oleh Ukhti Zirwatul Haryati Hassan. Disusuli pula ke teratak, khas buat bonda dan ayahanda saya tercinta. Banyak kenangan manis saya bersama ukhti yang seorang ini. Masakan tidak, di Kolej sebelum ini kami ibarat kembar sementelah pula hanya kami berdua yang berasal dari utara tanah air. Susah senang kami kongsi bersama. Ukhti Atul banyak mengajar saya tentang erti sabar dalam permusafiran berjuang menuntut ilmu. Sungguh, hanya saya dan dia sahaja yang mengerti. Kata-katanya banyak menyemarakkan semangat saya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas budimu yang tidak terhingga itu ukhti. Mudah-mudahan ukhti lah salah seorang zaujah solehah yang didamba oleh setiap zauj yang soleh. Barakallahu lakuma...

0 comments:

Post a Comment