Friday, March 12, 2010

Analisa Diri

"Ingatlah ketika Rabb-mu berfirman kepada para malaikat : "Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka berkata : "Apakah patut Engkau menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji engkau dan mensucikan Engkau?". Allah berfirman : "Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". Surah Al-Baqarah : 30. Apakah maksud khalifah? Siapakah khalifah itu? Bilakah ianya akan berfungsi? Khalifah bermaksud penolong, pentadbir dan segala sesuatu maksud yang berkaitan dengan pemakmur bumi Allah. Ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa manusia yang serba-serbinya kurang ini telah Allah angkat darjatnya untuk mentadbir bumi walaupun akan membuat kerosakan dan kemusnahan. Dalam meneruskan perjalanan hidup kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini sewajarnya kita sentiasa menganalisa diri. Sedar tidak sedar kita adalah khalifah yang telah Allah maksudkan itu. Sewajarnya kita sentiasa menganalisa diri dengan kalam-kalam Allah dan hadith-hadith nabi SAW. Adakah kita dengan atau tanpa sedar telah melakukan maksiat kepada Allah? Adakah kita telah menutup aurat dengan tutupan yang sempurna? Adakah kita telah membuat kebaikan kepada kedua ibu-bapa kita? Adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar dengan sempurna? Adakah kita telah menyatakan kalimah yang benar walaupun di hadapan pemimpin yang zalim? Adakah kita telah meletakkan Allah di segenap denyut nadi kita?. Analisalah diri kita semua sebelum kita dianalisa oleh ALLAH SWT. Hanya kita yang tahu apa yang telah kita buat. Pilihan di atas tangan kita, mahu masuk ke neraka atau ke syurga. Tiada siapa yang dapat membantu andai telah sampai nafas kita di rongga hidung. Baki umur yang masih berbaki ini, gunakanlah sebaik mungkin untuk meloloskan diri dari neraka jahannam yang sungguh dahsyat itu. Mari kita bulatkan tekad untuk menjadi hamba yang kenal erti hamba. Ayuh kita mula menganalisa diri.

0 comments:

Post a Comment