Sunday, March 28, 2010

FENOMENA KELEMAHAN JIWA bahagian III

SEBAB-SEBAB YANG MEMBAWA KEPADA KELEMAHAN JIWA : -SIKAP IBUBAPA YANG TIDAK MENGAMBIL BERAT TENTANG PENDIDIKAN ANAK-ANAK SEJAK KECIL. Tanpa disedari, keadaan tersebut membawa kepada penyerapan nilai-nilai yang negatif ke dalam jiwa anak-anak. Umpamanya mengatakan bahawa : "Kamu lebih baik dan mulia daripada orang lain. Kamu adalah keturunan yang baik. Kamulah golongan yang berharta banyak jika dibandingkan dengan orang lain". Sentiasa memuji dan menyanjung mereka tanpa sebab. Memenuhi tuntutan anak-anak samada mendatangkan manfaat atau tidak, enggan mengenakan hukuman ataupun memberikan tunjuk ajar sekiranya mereka melakukan kesilapan sebaliknya dengan mudah membebaskan mereka merupakan antara perkara yang menjadikan mereka terbiasa dengan kesilapan. -CARA TARBIYYAH YANG TERLALU KERAS, KASAR DAN BERBENTUK PAKSAAN. Ini menjadikan anak-anak terperangkap dengan dirinya sendiri dan menjadikan jiwa mereka pasif. Akhirnya, mereka cuba untuk meneguhkan diri sendiri dan menjadi hero di hadapan orang lain. Mendakwa dirinya hebat dan handal malah seorang jaguh. Pada hakikatnya, semua itu adalah sangkaan yang meragukan dan palsu semata-mata. Dengan itu, leburlah keperibadian, tewas dengan diri sendiri dan tidak mampu untuk mempertahankan pandangan serta pegangannya di hadapan orang lain. Alangkah mudahnya tewas meskipun dalam pertarungan yang terlalu remeh. -LEMAH DALAM MEMBINA JIWA ANAK-ANAK DAN SUASANA PERSEKITARAN YANG TIDAK MENGGALAKKAN. Anak-anak tidak sempat menamatkan pengajian dan tidak mampu menguasai ilmu serta rapuhnya hubungan kekeluargaan dan lain-lain lagi. Dengan itu, anak-anak akan menjadikan suasana luaran sebagai alternatif bagi meneguhkan diri dan menampung segala kekurangan diri. Ini semua akan menjadikan mereka ta'sub pada pandangan peribadi dan menggesa orang lain supaya menerima pandangannya. Cuba menampilkan diri sebagai seorang yang mengetahui segala perkara tersirat. Golongan ini tidak jemu bercakap tentang perkara yang boleh membersihkan imej sendiri dan mengangkat martabatnya di sisi orang lain. -BAKAT DAN KEUPAYAAN TERTENTU YANG TIDAK DIPUPUK SEJAK KECIL DENGAN NORMA-NORMA KEHIDUPAN YANG MENGIKTIRAF BAHAWA SEGALA ANUGERAH TERSEBUT ADALAH DARI ALLAH. Sepatutnya mereka sentiasa bersyukur kepada Allah SWT yang Maha Pencipta. Hal yang sedemikian perlu dititikberatkan, jika tidak mereka akan membesar dengan rasa tinggi dari orang lain. Kadang-kadang bakat serta kebolehan sendiri menyebabkan kehancuran sekiranya ia tidak digunakan dengan bijaksana. Kisah Qarun boleh dijadikan sebagai pengajaran yang terbaik. -TIDAK ADA SIFAT SALING NASIHAT MENASIHATI SESAMA MANUSIA. Nasihat merupakan suatu perkara yang amat pahit untuk diterima. Lantaran itu, ramai yang enggan memberi nasihat dan mermuka-muka kerana bimbang orang yang dinasihati akan berubah hati terhadapnya dan menimbulkan kemarahan. Sentimen itu, boleh mencetuskan anggapan pada sesetengah pihak bahawa kesilapan adalah kebenaran. Maka mereka yang bersalah terus bergelumang dengan kesalahannya. -TIDAK MENITIKBERATKAN PEMBINAAN DALAMAN. Peringkat usia 30-an dihabiskan tanpa sebarang usaha untuk menyempurnakan segala kekurangan yang ada. Lantas menyebabkan gejala lemah jiwa sebati dalam diri dan keperibadiannya. Mendidik anak-anak diwaktu kecil umpama mengukir di atas batu. Seperti mana yang telah kita ketahui dalam kisah Ashabul Ukhdud, kita melihat apa yang diminta oleh tukang sihir daripada raja adalah seorang anal kecil. Daripada Suhaib RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : "Ada seorang raja sebelum zamanku yang memiliki seorang sihir apabila tukang sihirnya tua, dia berkata kepada si raja :"Sesungguhnya aku telah tua, utuskan kepadaku seorang budak agar aku boleh mengajarnya ilmu sihir". Maka raja tersebut mengutuskan seorang budak kepadanya untuk diajarkan sihir...". Riwayat Muslim. -TIDAK MEMUHASABAH DIRI SECARA BERTERUSAN. BERPUAS HATI DENGAN AMAL IBADAT TANPA MELIHAT KEPADA PERCUBAAN HAWA NAFSU UNTUK MENGUASAINYA. Apabila seseorang itu mampu menilik diri dan amalan lahiriah, sebaliknya mengabaikan amalan hati seperti ikhlas, membenarkan Allah, bertawakkal kepada Allah dan mengembalikan dirinya kepadanya. Takut akan berlakunya riya', takabbur, ujub, terpedaya dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan kecatatan amal, maka sifat tercela tersebut bermaharajalela di dalam diri tanpa disedari lantas dia menyangka bahawa dia sudah beruntung. Merasa dirinya tergolong dikalangan orang-orang yang soleh dan ahli syurga sedangkan itu bukanlah ciri-ciri orang soleh yang sebenar. Hakikatnya orang yang soleh sepertimana yang disifatkan oleh Al-Quran : Maksudnya : "Dan orang-orang yang telah memberikan apa-apa yang telah diberikannya (sedekah, zakat dan sebagainya) sedang hati mereka itu takut kerana mereka akan kembali kepada tuhanNya". Al-Mukminun : 60 -MENONJOL DAN MENAMPILKAN DIRI TANPA PERSEDIAAN DAN PEMBENTUKAN AWAL. Mereka yang tampil kehadapan dan terdedah kepada kemahsyuran sebelum sampai waktunya akan mudah tergelincir dalam banyak perkara seperti mana yang disebut oleh Imam As-Syafie yang bermaksud : "Apabila terkehadapan orang muda yang belum mantap ilmunya hilanglah darinya ilmu yang banyak". Ini akan membantutkan usaha mencari ilmu, membentuk diri, mendidik jiwa dan menghidupkan hati. Sesetengah manusia apabila disuluh dengan cahaya kemahsyuran sedangkan dia masih belum ada persediaan diri yang mantap maka samalah keadaanya sepeti orang yang menghampiri cahaya dan mendapati dirnya terlalu besar sedangkan itu hanyalah bayang-bayang. Sedangkan dirinya tetap tidak berubah. Bersambung... *Dipetik dari buku Fenomena Kelemahan Jiwa dan Kaedah Rawatannya oleh Dr Majdi Al-Hilali.

0 comments:

Post a Comment