Wednesday, March 24, 2010

FENOMENA KELEMAHAN JIWA bahagian I

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Demi diri (manusia) dan yang menyempurnakannya (Allah). Lalu diilhamkan oleh Allah kepadanya mana yang buruknya dan mana yang baiknya. Surah As-Syams : 7-10. Dalam ayat ini dengan jelas telah Allah terangkan bahawa manusia dijadikan bersama nafsu ammarah yang cenderung kepada kejahatan. Pastinya setiap yang berlaku ada sebabnya. Mengapa? Kerana Allah ingin menguji sejauh mana tulusnya pengabdian manusia terhadap Allah SWT. Antara sifat-sifat tersebut adalah berlaku zalim, kejahilan, bersifat bakhil dan pelbagai lagi sifat mazmumah yang ada dalam diri. Allah telah mencipta sifat ini sebagai satu medium untuk menguji kejujuran pengabdian hambanya kepada Allah SWT. Sungguh, harus kita ketahui bahawa andai manusia tanpa nafsu sebegini seumpama malaikat yang tidak pernah menderhaka kepada Allah SWT. Manusia ini dapat kita bahagikan kepada 3 golongan : GOLONGAN PERTAMA Mereka yang beriman kepada Allah SWT, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat serta qada dan qadar Allah SWT. Menjadikan syariat sebagai panduan hidup dan sangat percaya bahawa nafsu boleh menghalang mereka dari mendapat halawatul iman. Nafsu tersebut berada di antara 2 tulang rusuk manusia dan menjadi salah satu dari musuh-musuh manusia. Manusia diseru supaya kuat untuk menentang hawa nafsu dan syahwat. Menggadaikan jiwa raganya semata-mata kerana ingin menyahut seruan Allah SWT. Sentiasa mentauhid dan membesarkan Allah SWT. Menjauhi segala larangan, sentiasa hidup besederhana, tawakkal serta redha dengan apa yang telah berlaku, berterus terang dengan kebenaran, tidak mendedahkan diri kepada cinta dunia, sentiasa beriltizam dengan sunnah nabi serta banyak lagi sifat mahmudah yang telah di ajar oleh baginda nabi. GOLONGAN KEDUA Golongan kedua ialah mereka yang mengikut hawa nafsu dan langsung tidak berbantah dengan segala tuntutannya. Mereka ini sedang menuju kepada kehancuran. Mereka telah berpaling daripada menyembah Allah kepada menyembah hawa nafsu dan syahwat. Mereka telah dikekangkan dengan segala yang haram. Tidak menjaga solat yang lima serta kefardhuan yang lainnya. Telah banyak hukum-hukum Allah yang telah mereka ejek dan sendakan. Bersikap riak juga banyak berbohong untuk melepaskan diri dari segala maksiat yang telah mereka lakukan. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Adakah engkau melihat orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan? Adakah engkau menjadi wakil penjaga untuknya?. Bahkan adakah engkau kira bahawa kebanyakkan mereka mendengar atau memikirkannya? Mereka tidak lain hanya seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat jalannya". Al-Furqan : 43. GOLONGAN KETIGA Golongan ini adakalanya tunduk dengan hawa nafsu dan adakala menghalangnya. Kadang-kadang mereka mengabdikan diri kepada nafsu dan kadang-kadang kepada Allah SWT. Golongan inilah yang sangat ramai dewasa ini. Suatu ketika mereka menumpaskan hawa nafsu namun terkadang nafsu pula yang menjadi raja dalam beberapa perkara lain. Saudara-saudariku, Pertarungan melawan hawa nafsu adalah pertarungan yang getir dan hebat. Hanya mati penyudahnya. Oleh itu, wajib bagi kita untuk sentiasa koreksi diri dan memeriksa hati agar tidak mudah tewas kepada hawa nafsu. Pohonkan kepada Allah SWT agar kekuatan itu kita miliki. Bersambung... *dipetik dari buku Fenomena Kelemahan Jiwa Dan Kaedah Rawatannya oleh Dr Majdi Al-Hilali.

0 comments:

Post a Comment